Sukan

Akhirnya Le Tour de Langkawi Kembali Ke Sabah & Sarawak Selepas 22 Tahun!

Perlumbaan jelajah berprestij Asia, Le Tour de Langkawi (LTdL) akan kembali semula ke Sabah dan Sarawak pada edisi 2020 dengan status perlumbaan diubah oleh Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) dari status Hors Classe (HC) menjadi Pro Series (siri profesional).

Ia adalah hasil keputusan Kongres UCI di Harrogate, England pada 27 September yang lalu dengan LTdL antara empat perlumbaan jelajah di Asia mendapat status baharu tersebut.

Tiga perlumbaan lain di Asia ialah Jelajah Oman dan dua perlumbaan di China, Jelajah Tasik Qinghai dan Jelajah Hainan.

 

Le Tour de Langkawi Bermula Di Sabah Bah!

Jelajah LTdL kali ke-25 tahun depan yang akan datang ini akan turut menyaksikan perlumbaan tersebut dipanjangkan kepada 10 peringkat berbanding lapan sebelum ini dengan kali terakhir di Sabah dan Sarawak diadakan pada edisi kedua pada 1997.

Laluan di dua negeri tersebut tidak diteruskan sejak 1997 berikutan masalah logistik dan kos penganjuran yang lebih tinggi, walau bagaimanapun untuk laluan bagi sambutan jubli perak perlumbaan tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif, Human Voyage Sdn. Bhd., Datuk Ahmad Mustafa berkata pihaknya selaku penganjur telah membuat perancangan lebih awal dan rapi.

Oleh yang demikian, peringkat pertama akan bermula di Kota Kinabalu diikuti oleh peringkat kedua di Kuching sebelum kembali ke Semenanjung Malaysia dengan peringkat ketiga dari Kuala Terengganu ke Kerteh.

Peringkat keempat pula ialah dari Temerloh ke KLCC atau Putrajaya diikuti KLCC atau Putrajaya ke Genting Highlands, Kuala Kubu Bharu-Ipoh, Taiping- Pulau Pinang, Bagan-Alor Setar dan dua peringkat terakhir di Pulau Langkawi.

 

Laluan Masih Belum Ditetapkan

“Semua laluan masih di peringkat perancangan awal dan kita akan mengadakan beberapa siri perbincangan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kerajaan negeri masing-masing sebelum laluan dimuktamadkan,” katanya kepada Utusan.

LTdL yang merupakan idea cetusan Tun Dr. Mahathir Mohamed bermula pada tahun 1993 dikatakan bukanlah sekadar perlumbaan, tetapi penganjuran LTdL merupakan platform melahirkan pelumba basikal baharu yang berbakat dari seluruh dunia sejak penganjuran edisi pertamanya.

 

LTdL Banyak Bantu Melahirkan Bakat Dunia

Melalui LTdL, ramai pelumba berbakat dunia seperti Alessandro Petacchi, Floyd Landis, Chris Horner, Levi Leipheimer, Julio Alberto Perez, Antonio Cruz, Fred Rodriguez, Rigo­berto Uran dan Rinaldo Nocentini muncul sebagai pelumba disegani dunia dan memainkan peranan besar dalam pasukan profesional Jelajah Dunia selepas berkayuh di Langkawi.

Jelajah LTdL yang diadakan pada awal musim perlumbaan dalam kalendar Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) itu menjadi medan memanas badan sebelum bermula musim sibuk perlumbaan besar dan penting di Eropah.

 

Pemenang Mendapat Wang Tunai RM1.1juta!

LTdL yang dimodenkan daripada Le Tour de France merupakan perlumbaan berbasikal paling berprestij di dunia itu dianjurkan dengan menawarkan hadiah wang tunai RM1.1 juta.

Menurut penganjur LTdL 2020, pelancaran acara tersebut dijangka akan dilakukan pada hujung bulan depan dengan diharapkan beberapa saluran televisyen sukan terkemuka antarabangsa seperti Eurosport, Fox Sport Asia dan ESPN bersetuju untuk membuat liputan secara langsung LTdL 2020 yang dijadual dari 6 hingga 15 Feb tahun depan.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button