AntarabangsaIsu Semasa

AS Tidak Akan Terlibat Atau Sokong Operasi Turki Di Syria

Setiausaha Akhbar Rumah Putih dalam satu kenyataan terbaru berkata bahawa Turki tidak lama lagi akan mampu bergerak ke hadapan dengan operasi ketenteraan mereka yang sudah lama dirancang untuk mewujudkan ‘zon selamat’ di utara Syria dan tentera Amerika Syarikat (AS) tidak akan menyokong ataupun terlibat dengannya.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas perbincangan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan dan Presiden Donald Trump menerusi panggilan telefon, yang membincangkan rancangan Turki untuk mewujudkan sebuah ‘zon selamat’ di timur Sungai Euphrates di Syria.

Erdogan pada Sabtu berkata, serangan ketenteraan ke atas timur laut Syria berpotensi berlaku pada bila-bila masa sahaja, selepas Ankara mendakwa bahawa Washington menyekat usaha untuk mewujudkan ‘zon selamat’ itu secara bersama.

Difahamkan, Turki telah lama berikrar untuk melancarkan operasi ketenteraan yang menyasarkan militia Kurdish YPG, kerana menganggapnya sebagai organisasi pengganas yang berkaitan dengan pemberontak Kurdish di Turki.

Namun, AS pula membantu YPG menewaskan kumpulan militan IS di Syria.

“Turki tidak lama lagi akan bergerak ke hadapan dengan operasi yang telah lama dirancangnya di Utara Syria.

“Angkatan Tentera Amerika Syarikat tidak akan menyokong atau terlibat dalam operasi itu, dan tentera Amerika, setelah menewaskan ‘khalifah’ wilayah IS, tidak akan lagi berada di kawasan itu,” kata Setiausaha Akhbar Rumah Putih dalam kenyataan tersebut.

Sementara itu, jurucakap Erdogan, Ibrahim Kalin berkata, rancangan ‘zon selamat’ Turki berada dalam kerangka integriti wilayah Syria.

“Zon selamat ini mempunyai dua matlamat: untuk menjamin keselamatan sempadan dengan menghapuskan elemen-elemen pengganas dan memastikan pemulangan pelarian dengan cara yang selamat.

“Turki berkuasa dan cekal,” ujar beliau menerusi Twitter.

Turki menyatakan bahawa ia mahu menempatkan sehingga 2 juta pelarian Syria di zon tersebut.

Sumber: AFP

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button