Bisnes & Ekonomi

Apabila ‘Superhero’ Dijadikan Karya Batik Yang Boleh Dipakai, Memang Gandingan Superb!

Apabila idea untuk mencipta batik dengan watak adiwira hadir dibenak fikirannya, Amir Harith Mat Kashim mendapat tentangan daripada rakan sekelilingnya kerana ia merupakan motif bukan konvensional dan akan merosakkan reputasi hasil kraftangan seni batik.

Namun dia yang tidak mengendahkan kritikan itu dan mahu mencabar dirinya dengan meneruskan hasrat yang ‘tidak logik’ itu.

Perjuangan seninya itu tidak sia-sia apabila ramai pelanggan menyukai hasil karyanya.

 

Karya Hasil Tangan Bermula RM200

Apa yang menakjubkan ialah koleksi “Heroes” Amir Harith yang bermula pada harga RM200 itu mendapat sambutan yang sangat baik dan habis terjual dalam masa yang sangat singkat.

Pelukis batik berusia 30 tahun ini melukis batiknya dengan tangan telah menghasilkan karya aksesori dan imej seperti Superman, Batman, Spider-Man, Wonder Woman dan pelbagai lagi watak Marvel Comic.

Sumber Imej: BERNAMA

Motif yang dihasilkan melalui desain abstrak disertakan dengan tona warna yang sangat sesuai dengan watak tersebut telah menyebabkan hasil yang sangat eksklusif.

Amir Harith memasarkan batiknya itu dibawah jenamanya sendiri iaitu Bujins dan memiliki sebuah kedai atas talian dan butik di Bangi serta Bukit Bintang.

Jejaka kelahiran Kota Baru ini turut memiliki bengkel batik artisan di Jalan Kuala Krai.

 

Mengapa Mahu Pilih Tema Superhero?

Sebab utama Amir memilih tema superhero sebagai motif batiknya itu adalah untuk membuktikan kepada para pelukis batik bahawa mereka perlu menjadi inovatif dengan kreasi mereka sendiri.

“Batik tidak semestinya hanya dalam bentuk konvensional seperti flora dan fauna sahaja ataupun bentuk geomatrik dan abstrak,” katanya.

Amir juga baru tahun lalu mengambil kreasi motif baharu ini ke dalam koleksi eksklusif ciptaannya untuk mengembangkan perniagaannya.

 

Peminat Pahlawan Melayu Bakal Menerima Hasil Tangan Bujin

Termotivasi dengan respond yang positif daripada koleksi “Heroes” ini, Amir Harith dan pasukannya kini mahu fokus dalam mereka koleksi batik berasaskan pahlawan atau hero tempatan dan juga figura bersejarah.

Sebagai permulaan, mereka telah memulakan dengan Hang Tuah dan empat pahlawan hebat yang lain iaitu Hang Jebat, Hang Lekir, Hang Kasturi dan Hang Lekiu.

Ia dijangka akan menjadi sebahagian daripada koleksi edisi terhad yang boleh didapati di dua butik Bujin dan juga kedai atas talian.

Namun menurutnya terdapat pelanggan setianya yang terdiri daripada bukan Melayu juga sangat berminat sehingga sudah menempah koleksi “Warriors” itu.

 

Warrior Borneo Juga Tidak Ketinggalan

Setelah koleksi “Warriors” ini, Bujin mahu meneruskan dengan melakukan lukisan pejuang kebebasan daripada pelbagai kumpulan etnik termasuk dari Sabah dan Sarawak.

“Setelah itu, kami mahu menampilkan siri istimewa yang diambil sempena beberapa peristiwa seperti Bukit Kepong.

Saya mahu jenama Bujin ini menjadi landasan untuk narasi sejarah melalui motif batik dan apabila orang melihat fesyen Bujin, mereka akan tahu sejarah negara kita juga,” kata Amir.

Amir Harith yang pernah memenangi Piala Seri Endon dalam kategori fesyen pada tahun 2013 dan 2014 juga pernah menerima Prime Minister’s Golden Hand Award pada tahun 2009 juga sangat suka melahirkan rasa cinta dan patriotismenya terhadap negara menerusi karya batik.

“Generasi muda sering dikritik kerana kurang patriotik tetapi kami sebenarnya memiliki cara tersendiri untuk meluahkannya,” jelas Amir kepada Bernama.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button