AntarabangsaIsu SemasaPolitik

Adakah Bilionair Berusia 41 Tahun Ini Bakal Jadi PM Thailand Satu Hari Nanti?

Muda, kaya, tampan dan rendah diri. Inilah kata-kata yang sesuai untuk menggambarkan bilionair Thailand, Thanathorn Juangroongruangkit, 41, yang dikatakan berpotensi untuk menjadi Perdana Menteri negara itu pada masa akan datang.

Walaupun parti politiknya, Future Forward Party (FFP), baru sahaja berusia setahun, ia berjaya memenangi jumlah kerusi ketiga tertinggi ketika Pilihan Raya Umum Thailand pada bulan Mac awal tahun ini.

Thanathorn juga merupakan Ahli Parlimen (MP) Thai yang terkaya, dengan jumlah aset keseluruhan bernilai 5.63 bilion Baht (RM760 juta).

Media Thai menyifatkan beliau sebagai “orang kebanyakan yang bilionair” kerana perjuangannya untuk mengubah sistem kelas sosial di sana.

“Menjadi seorang bilionair tiada kaitan dengan kejayaan. Faktornya adalah orang ramai melihat kita sebagai generasi muda yang berjaya dalam perniagaan. Tetapi, bukan wang yang membantu kami untuk meraih undian (dalam pilihan raya).

“Apa yang lebih penting adalah dominasi idea. Ramai ahli politik berjanji untuk melakukan pelbagai perkara. Tetapi, kami amat jelas: Kami memberi orang ramai hala tuju negara dalam tempoh 10 dan 20 tahun yang akan datang,” katanya.

Thanathorn turut menegaskan bahawa kejayaan FFP sedang mendominasi agenda awam.

“Ia adalah tentang mesej yang kami hantar kepada rakyat. Bagi kami, kerusi di Parlimen tidak menjadi keutamaan. Itu adalah keutamaan yang kedua.

“Keutamaan bagi kami adalah untuk memenangi peperangan idea. Jika anda memenangi peperangan idea, anda akan memenangi undian dan kerusi. Bukan sebaliknya,” ujar naib presiden eksekutif dan pengarah di syarikat Thai Summit Group itu.

Thai Summit Group merupakan syarikat pengeluar alat ganti pelbagai barangan yang terkemuka di Thailand.

Apabila ditanya adakah seseorang individu perlu muda dan menjadi bilionair untuk memulakan gerakan kuasa ketiga yang berjaya di Thailand, ini jawapan beliau:

“Saya tidak bersetuju dengan itu. Jika anda lihat pada wang yang dibelanjakan dalam pilihan raya yang lalu, perbelanjaan kami adalah jauh lebih rendah berbanding parti-parti yang lain.”

Ketika pilihan raya pada 24 Mac, FFP memenangi 80 daripada 500 kerusi yang dipertandingkan. Jumlah yang dimenangi agak besar bagi parti baru yang mempunyai pemimpin-pemimpin ‘bukan ahli politik’, sebaliknya terdiri daripada ahli akademik, usahawan, dan aktivis sosial.

Mengulas tentang kejayaan itu, Thanathorn menyatakan bahawa FFP memberi para pengundi visi masa hadapan.

“Kami berkata, ‘lihat, sudah ada terlalu banyak polarisasi dan konflik politik pada dekad yang lalu yang telah mengorbankan banyak nyawa. Kita perlukan perubahan,” katanya.

Ketika berkempen sebelum pilihan raya, parti tersebut menekankan isu ketidaksamarataan di Thailand, di mana jurang di antara golongan kaya dan miskin menjadi semakin luas.

Pembangunan ekonomi di negara-negara jiran seperti Indonesia, Malaysia, Filipina dan Vietnam juga dilaporkan berkembang pada kadar 5% sehingga 6% setahun berbanding Thailand yang hanya menyaksikan pertumbuhan sebanyak 3% sejak 10 tahun lalu.

Justeru, Thanathorn berpandangan bahawa Thaialnd perlu didemokrasikan.

“Jika kita berjaya mendemokrasikan negara kita sekali pun, tentera akan masuk campur kerana golongan elit tidak mahu kehilangan kepentingan ekonomi mereka sekiranya kuasa dikongsikan bersama rakyat. Mereka akan bertindak balas dengan melancarkan sebuah lagi rampasan kuasa (coup d’etat).

“Jadi sejurus selepas anda mendemokrasikan negara, anda perlu demilitarisasikan negara, serta mengeluarkan tentera daripada politik. Mesej kami mudah, dan rakyat memahaminya.

“Sebab itu kami memenangi undian. Kami tidak banyak berjanji. Ia adalah untuk menjadikan Thailand kembali menjadi normal, iaitu mendemokrasikan negara kami,” tegas beliau.

Sejak kebelakangan ini juga, arena politik dunia menyaksikan pelantikan ramai pemimpin yang terdiri daripada golongan muda termasuk:

1. Jacinda Ardern, 39 – Perdana Menteri New Zealand

2. Justin Trudeau, 47 – Perdana Menteri Kanada

3. Emmanuel Macron, 41 – Presiden Perancis

4. Sebastian Kurz, 33 – Canselor Austria

Thanathorn ditanya sama ada beliau melihat dirinya seperti Ardern, Trudeau, atau Macron di Thailand.

“Saya tidak melihat diri saya seperti itu. Ia adalah satu cara yang ‘sombong’ untuk melihat diri saya dengan cara itu. “Tetapi saya perlu berterus-terang dalam perkara ini. Saya harus menjadi Perdana Menteri untuk membawa perubahan. Tiada orang lain.

“Jika anda lihat calon-calon Perdana Menteri di luar sana, saya tidak rasa mereka mahu melakukan perubahan struktur seperti kami. Jadi, saya memikul impian jutaan rakyat yang mahu melihat perubahan. Tanpa mengira usia – ia bukan sahaj tentang umur atau jantina, ia adalah tentang impian, yang Thailand mahu lihat,” katanya.

Sumber: The Star: “He has a dream for Thailand” –  Philip Golingai

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button