AntarabangsaIsu Semasa

Hubungan Diplomatik China Dan Korea Utara Akan ‘Kekal Abadi’

Presiden China, Xi Jinping dalam satu kenyataan baru-baru ini berikrar untuk terus menjalinkan hubungan “jangka masa panjang, kukuh, dan stabil” dengan Korea Utara, susulan ulang tahun ke-70 hubungan diplomatik kedua-dua negara itu.

Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un juga menyatakan bahawa “persahabatan di antara negara mereka yang ‘kebal’ akan terus kekal abadi ke arah mencapai matlamat sosialisme.”

Difahamkan, Korea Utara merupakan antara negara yang pertama di dunia untuk mengiktiraf Republik Rakyat China (PRC) selepas ia diasaskan pada tahun 1949.

Xi berkata, hubungan di antara China dan Korea Utara telah memainkan “peranan penting dan positif dalam mengekalkan kestabilan dan keamanan serantau.”

Memetik laporan agensi berita Xinhua, Xi dan Kim telah bertemu sebanyak lima kali sejak bulan Mac 2018.

Xi juga merupakan pemimpin China yang pertama untuk melawat Korea Utara dalam tempoh 14 tahun apabila beliau melakukan lawatan simbolik ke negara nuklear itu pada bulan Jun.

Kim turut menyatakan bahawa kedua-dua negara tersebut akan “mempertahankan matlamat sosialisme dan menjaga keamanan serta kestabilan semenanjung Korea dan seluruh dunia.”

Dalam pada itu, Korea Utara pada Sabtu telah mengadakan pusingan terkini rundingan nuklear bersama Amerika Syarikat (AS) di Sweden.

Pyongyang – yang dikenakan tiga set sekatan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) agar ia menghentikan program senjata nuklear dan balistiknya – berkata bahawa rundingan itu gagal kerana AS “amat mengecewakan kami.”

Walau bagaimanapun, Washington sebaliknya menegaskan bahawa rundingan itu berjalan dengan “baik”.

Sejak rundingan AS-Korea utara bermula, Rusia dan China menggesa PBB untuk mula menarik sekatan yang dikenakan ke atas Pyongyang bagi mewujudkan momentum ke arah mencapai denuklearisasi negara itu.

Sumber: The Sun Daily – AFP

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button