Isu SemasaTempatan

Mogok Foodpanda: Kerajaan Pertimbang Untuk Kawal Selia Ekonomi Gig

Sebuah inisiatif sosial korporat diperlukan untuk mewujudkan badan pusat yang boleh menangani semua isu yang dihadapi oleh pekerja-pekerja ekonomi gig dalam pelbagai sektor.

Menurut Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan, badan berkenaan boleh berperanan sebagai orang tengah di antara pekerja, majikan, dan kerajaan dalam usaha memastikan situasi menang-menang (win-win) bagi semua pihak.

“Pekerja di bawah ekonomi gig perlu diberi akses mudah terhadap hak mereka, seperti sebuah organisasi yang boleh membantu mereka memfailkan aduan dan tuntutan sekiranya mereka dieksploitasi.

“Pertikaian tidak akan membawa makna kerana kedua-dua pihak tidak akan memperoleh sebarang manfaat daripadanya, jadi dengan harapan hasilnya adalah menang-menang untuk semua pihak,” kata beliau.

Pada masa ini, kontraktor yang bekerja sendiri tidak mempunyai hak undang-undang untuk membentuk kesatuan buruh dan membuat perundingan kontrak.

Pekerja-pekerja gig juga tidak dilindungi oleh insurans syarikat  dan tidak mempunyai perlindungan kewangan seperti Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) atau Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Tambah Shamsuddin, dengan campur tangan pelbagai kementerian baru-baru ini, nasib para pekerja kini disedari dan terdapat pegawai-pegawai khas untuk membantu menangani masalah mereka.

Walaupun ekonomi gig terus berkembang, para pekerja dalam sektor ini masih lagi mengalami kesulitan kewangan.

Dalam ekonomi gig, segelintir individu hanya melakukan kerja sampingan untuk mendapatkan lebih pendapatan, namun terdapat juga sesetengah yang bergantung penuh kepada sektor ini sebagai sumber pendapatan utama mereka.

Shamsuddin berkata, “pekerja gig sepenuh masa” adalah pihak yang paling cenderung untuk mengalami masalah kewangan kerana mereka tidak menerima manfaat pekerja dan perlindungan buruh.

“Mereka tidak dianggap sebagai pekerja jadi mereka tidak dilindungi,” jelas beliau.

Baru-baru ini juga, ratusan penunggang atau rider Foodpanda telah melancarkan protes bagi membantah skim pembayaran gaji baru yang diperkenalkan oleh syarikat perkhidmatan penghantaran makanan itu.

Difahamkan, skim tersebut menghapuskan bayaran asas bekerja RM4 sejam, dan sebaliknya meningkatkan insentif pesanan antara RM4.50 hingga RM7 untuk setiap pesanan.

Rider-rider turut menyatakan bahawa mereka berdepan keadaan bekerja yang tidak menentu setiap hari dan tidak boleh membatalkan terlalu banyak penghantaran kerana boleh membawa kepada penggantungan.

Sementara itu, kerajaan dilaporkan sedang mempertimbang untuk mengawal selia ekonomi gig bagi melindungi keselamatan kewangan para peserta dalam sektor itu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, peserta-peserta ekonomi tersebut, khususnya anak muda, tidak boleh diambil ringan memandangkan ia melibatkan kebajikan dan kestabilan ekonomi mereka.

“Kita telah membincangkannya di peringkat kementerian, khususnya berhubung mogok yang dilancarkan oleh penunggang Foodpanda.

“Ia membabitkan ramai belia dan ini menunjukkan bahawa pandangan dan tindakan berhati-hati perlu diletakkan dalam perkara ini,” katanya.

Pada Rabu, kerajaan telah mewujudkan jawatankuasa tiga pihak yang terdiri daripada Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Belia dan Sukan (KBS), dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk mencari formula dalam usaha menyelesaikan perkara tersebut.

Langkah ini diseru oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman selepas mengadakan sesi dialog bersama ratusan rider Foodpanda.

Jelas Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran, kementeriannya telah melakukan perundingan sewajarnya bersama pemegang taruh berhubung sistem pasaran bebas, atau ekonomi gig, serta butir-butir membabitkan pengawal seliaan sektor itu.

Sehubungan dengan itu, kedua-dua menteri tersebut juga telah menggesa Foodpanda untuk mengembalikan semula sistem pembayaran gajinya kepada mekanisme terdahulu.

 

Sumber: The Malaysian Reserve (TMR)

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button