Isu SemasaTempatan

DKKA Tekankan Perlindungan Rakyat Dan Negara

Dasar Keselamatan dan Ketenteraman Awam (DKKA) yang dilancarkan oleh baru-baru ini merupakan inisiatif terbaru kerajaan yang bukan sahaja bertujuan untuk mengekalkan keamanan dan keselamatan, tetapi juga untuk menjamin kesejahteraan rakyat dan kelangsungan Malaysia sebagai negara aman, makmur, berdaulat dan dihormati dalam arena global.

Dasar yang dirangka khusus oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) ini juga menggariskan enam teras dan 21 strategi, yang bertujuan untuk mengukuhkan lagi usaha-usaha sedia ada dalam melindungi kepentingan negara serta rakyat.

Mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, undang-undang dan institusi agama menjadi antara fokus utama teras dan strategi tersebut, termasuk melindungi dan mempertahankan institusi Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Raja-raja Melayu, serta badan eksekutif, legislatif, dan kehakiman.

Sementara itu, dasar ini turut memberi fokus untuk meningkatkan tadbir urus dan integriti agensi penguatkuasaan keselamatan menerusi semak dan imbang, selain daripada memperkukuhkan integriti dalam kalangan anggota, serta menaik taraf aset dan penggunaan teknologi terkini.

Dalam mengukuhkan lagi keselamatan kawalan sempadan, dasar tersebut juga menggariskan empat langkah strategik, termasuk meningkatkan profesionalisme dan kecekapan pihak berkuasa yang bertanggungjawab dalam menjaga sempadan negara.

Memerangi gejala dadah turut menjadi sebahagian daripada teras utama DKKA, di mana pihak berkuasa akan memastikan jumlah bekalan dadah dalam pasaran dan jalanan adalah rendah menerusi penguatkuasaan efektif, kerjasama antarabangsa, dan langkah-langkah pencegahan, pendidikan dan pemulihan yang lebih baik.

Menurut Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dasar ini dirangka berdasarkan perkembangan isu-isu berkaitan keselamatan di dalam dan luar negara.

Jelas beliau, strategi-strategi perlu disusun semula dalam usaha meningkatkan lagi keberkesanan langkah-langkah yang diambil untuk melindungi negara dan orang awam.

“Sebuah pelan tindakan akan diwujudkan untuk memenuhi setiap teras dan strategi bagi mencapai semua objektif.

“Jawatankuasa pengurusan tertinggi yang akan dipengerusikan oleh saya akan menentukan bagaimana dasar ini akan diimplementasikan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sumber: The Star

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button