Sukan

Seorang Penjaga Gol Baharu Untuk Dua Aksi Terdekat Ini & 2 Pemain Muda Untuk Harimau Malaya Tahun Depan?

Aksi persahabatan di antara Skuad Harimau Malaya berdepan dengan Sri Lanka akan mendapat penjaga gol baharu apabila Khairulazhan Khalid, penjaga gol pasukan negeri Selangor dipanggil bagi menggantikan tempat penjaga gol Kedah, Mohd Ifwat Akmal Chek Kassim.

Bukan hanya untuk perlawanan persahabatan yang akan berlangsung di Bukit Jalil, Sabtu ini, Khairulazhan juga bakal beraksi untuk kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, Khamis depan.

 

Kekok Untuk Menyesuaikan Diri

Bagi Khairulazhan, dia bersyukur dan berbangga kerana dipanggil tetapi merasa kekok untuk menyesuaikan diri bersama pasukan.

Khairulazhan sudah dua tahun tidak menyertai kem latihan Harimau Malaya dan kali pertama bekas penjaga gol Pahang itu dipanggil menyertai kem latihan kebangsaan pada 2013 di bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee dan kali terakhir Khairulazhan bersama Harimau Malaya ketika menentang Hong Kong dalam aksi kelayakan Piala Asia 2019 yang berkesudahan seri 1-1 di Melaka pada 5 September 2017.

 

Walaupun Berusia 30 Tahun, Ia Bukan Penghalang

Khairulazhan, 30, antara pemain senior yang menyertai kem kebangsaan berkata, faktor usia tidak menjadi penghalang buatnya untuk merebut tempat memandangkan pengalaman boleh menjadi kelebihan.

“Umur bukan penghalang sebab kita kena bagi yang terbaik. Pengalaman penting untuk setiap pemain dan ia dapat membantu mereka ketika beraksi,” katanya kepada HarianMetro.

“Situasi ini mengimbau kembali kali pertama dipanggil menyertai kem latihan skuad kebangsaan.

“Persaingan untuk merebut tempat saya lihat peluang sama rata kerana masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri. Saya tidak meletakkan harapan tinggi dan membiarkan jurulatih membuat keputusan,” katanya.

 

B-18 Bakal Memperkuat Harimau Malaya

Di samping itu, dua pemain skuad bawah 18 tahun (B-18), Mukhairi Ajmal dan Luqman Hakim Shamsudin mungkin dipanggil mewakili skuad senior pada tahun depan.

Pengendalinya, Tan Cheng Hoe berkata, beliau sentiasa terbuka untuk menerima pemain muda bagi diserapkan ke dalam pasukan selepas melihat bakat dua pemain berkenaan pada kejohanan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) B-18, baru-baru ini.

Beliau berkata, pemain muda sememangnya akan bermain dengan pantas dan menunjukkan persembahan lebih bertenaga seterusnya membantu pasukan merencanakan serangan ke kubu lawan.

 

Mereka Paling Menonjol

“Dua pemain ini paling menonjol untuk skuad B-18 negara tetapi kami masih lagi memantau jadi mungkin tahun depan kita bagi peluang. Saya harap mereka bekerja keras kerana bakat saja tidak cukup untuk menjamin masa depan.

“Pemain senior juga diperlukan kerana mereka boleh membimbing pasukan. Kita tidak boleh melupakan pengalaman mereka. Saya mahu pemain muda belajar sesuatu daripada senior dan pada masa saya nak juga setiap kali latihan kita memanggil pemain baharu.

“Bagaimanapun, pada masa sama pasukan memerlukan keputusan jadi peluang tidak banyak untuk memanggil pemain baharu,” katanya di sini.

 

Watak Penting Sebagai Penggempur Utama Negara

Luqman yang meledakkan empat gol pada pada kejohanan AFF B-18 selain menjadi watak penting mengejutkan Australia 3-1 pada saingan peringkat kumpulan dilihat antara calon terbaik untuk menggalas cabaran sebagai penggempur utama negara.

Mukhairi pula memainkan peranan sebagai kapten pasukan B-18 dengan baik, malah bijak mengawal bahagian tengah untuk pasukan negara.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button