Isu SemasaPolitikTempatan

PRK Tanjung Piai: Adakah Calon Usia 18 Tahun Sudah Layak Untuk Bertanding?

Buat julung kalinya dalam sejarah, parti-parti politik di Malaysia dibenarkan untuk memilih calon berusia 18 tahun untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai di Johor yang akan dilangsungkan pada 16 November bulan depan.

Pada Selasa, Pengerusi Suruhanjaya Piihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun berkata, mana-mana parti politik yang akan bertanding pada PRK Tanjung Piai boleh mempertaruhkan calon berusia 18 tahun.

Keputusan ini adalah selaras dengan pindaah Perkara 47 Perlembagaan Persekutuan yang digazetkan pada 10 September.

Langkah tersebut juga dilihat sebagai satu perubahan besar dalam sistem demokrasi dan landskap politik negara, serta membawa nafas baru dari segi perwakilan belia dalam bidang ini.

PRK Tanjung Piai dan pencalonan individu berusia 18 tahun sebagai calon bukan sahaja menawarkan peluang untuk memperkasakan dan mewakili suara dalam kalangan anak muda, malah turut melakar sejarah baru dalam arena pilihan raya negara.

Di Kedah, Timbalan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri, Mohd Nizam Mat Daut berkata, keputusan ini juga akan membolehkan belia yang berhasrat untuk mewakili rakyat bagi mempamerkan potensi kepimpinan mereka.

“Masih terlalu awal untuk melihat kesan mengurangkan umur (pencalonan) dalam pilihan raya, tetapi PRK Tanjung Piai mungkin boleh menjadi penanda arasnya,” kata beliau.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Suara Anak Kelantan Darul Naim (Suara Kelantan), Isham Sharuddin menyifatkan langkah ini sebagai satu senario yang menarik kerana PRK kali ini berpotensi menyaksikan pencalonan calon 18 tahun buat pertama kali.

Jelasnya, perkembangan ini menunjukkan bahawa sistem demokrasi dalam negara menjadi semakin sihat memandangkan anak muda diberi peluang untuk menyuarakan hak mereka.

Tambah Isham, pandangan mereka semestinya akan berbeza berbanding calon yang lebih tua yang mewakili anak muda.

Pada Selasa, Pengerusi Suruhanjaya Piihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun berkata, mana-mana

Walau bagaimanapun, keputusan untuk membenarkan pencalonan individu berusia 18 tahun ini turut memperoleh bantahan daripada segelintir pihak yang melihatnya sebagai langkah tergesa-gesa.

Ini adalah kerana usia mengundi 18 tahun masih belum dilaksanakan lagi.

Menurut Presiden Majlis Belia Selangor (MBS), Mohamad Syafiq Ridzwan, SPR sepatutnya menguatkuasakan had kelayakan calon dan pengundi 18 tahun secara serentak dan bukan berasingan.

“MBS berpandangan bahawa kelayakan calon berusia 18 tahun perlu dilakukan secara serentak dengan kelayakan pengundi 18 tahun.

“SPR perlu lebih berhati-hati dalam hal ini dan tidak menjadi terlalu bersemangat untuk dilihat ‘inklusif’ dan melakukan keputusan separa jalan,” tegasnya.

Penyelaras Majlis Belia Negeri Johor (DMJ), Ahmad Solehin Abd Ghani turut meluahkan pandangan yang serupa, yang berkata bahawa ia adalah satu perkara yang ganjil untuk melihat individu 18 tahun masih tidak boleh mengundi, tetapi boleh menjadi calon.

“DMJ dimaklumkan bahawa sistem pendaftaran automatik bagi individu 18 tahun sebagai pengundi hanya akan dimulakan pada pertengahan tahun 2021. DMJ merasakan tempoh itu terlalu panjang.

“Bayangkan calon 18 tahun bertanding dalam PRK Tanjung Piai, tetapi dia tidak boleh mengundi. Ini amat pelik dan bertentangan dengan amalan biasa,” ujarnya.

Di Terengganu, Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata bahawa SPR perlu memastikan keputusan tersebut tidak mempunyai kesan undang-undang terutamanya jika calon muda itu memenangi PRK itu.

“SPR perlu melihat pada aspek perundangan. Kita tidak mahu melihat situasi di mana calon tersebut menang dan kemudian dicabar oleh parti lain secara tiba-tiba. Kita perlu melihatnya secara mendalam agar tidak timbul isu perundangan,” jelas beliau.

Tambahnya lagi, pemilihan calon bagi pilihan raya adalah amat berbeza dan tidak seperti melantik pengerusi kelap atau wakil persatuan.

Bagi Setiausaha Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) di Negeri Sembilan, Fakruradzi Abdullah pula, keputusan ini tidak patut diputuskan secara tiba-tiba dan remaja sebaliknya perlu diberi pendedahan awal.

“Saya mengakui bahawa kita (negara) mempunyai inisiatif untuk mendidik anak muda tentang kesedaran mengundi termasuk penubuhan Parlimen Belia Malaysia untuk mendedahkan anak muda tentang bagaimana untuk mentadbir, berdebat, dan membahaskan hal ehwal rakyat termasuk sistem pentadbiran negara.

“Tetapi pada saya, calon yang ingin bertanding dalam pilihan raya perlu mempunyai pengalaman dan bukan sahaja ilmu pengetahuan dalam dunia politik kerana dalam dunia politik, terdapat banyak cabaran,” kata Fakruradzi.

Sumber: Bernama

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button