AntarabangsaIsu Semasa

Perang Nuklear India-Pakistan Berpotensi Korbankan 100 Juta Nyawa

Para penyelidik menerusi sebuah kajian baru-baru ini telah meramalkan senario yang berpotensi berlaku pada tahun 2025, yang menyaksikan Parlimen India diserang oleh militan lalu menyebabkan kebanyakan pemimpinnya terbunuh.

India kemudian dikatakan akan melancarkan serangan balas dengan menghantar kereta kebal ke bahagian Kashmir yang dikawal oleh Pakistan.

Selepas itu, Pakistan akan menyerang pasukan India dengan menggunakan senjata nuklearnya, sekali gus mencetuskan konflik yang terburuk dalam sejarah.

Menurut penyelidik, sekiranya senario tersebut benar-benar berlaku, ia dijangka akan menyebabkan kematian  lebih daripada 100 juta orang dalam sekelip mata, diikuti kebuluran global secara besar-besaran.

Difahamkan, Pakistan dan India masing-masing kini mempunyai kira-kira 150 kepala peledak nuklear, dan angka itu dijangka akan meningkat mencecah 200 menjelang tahun 2025.

“Malangnya, (perkara ini) tepat pada masanya kerana India dan Pakistan terus kekal terlibat dalam konflik membabitkan Kashmir, dan setiap bulan anda boleh membaca (berita) tentang kematian orang di sepanjang sempadan itu,” kata Alan Robock, seorang profesor sains alam sekitar di Rutgers University, yang merupakan penulis bersama kertas kajian berkenaan.

Pada Ogos, Perdana Menteri India, Narendra Modi telah memansuhkan status autonomi khas di bahagian Kashmir yang dikawal oleh New Delhi.

Langkah itu mendapat tentangan hebat dari Pakistan dan pada minggu lepas pula, Perdana Menterinya, Imran Khan memberi amaran kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bahawa konflik ini berpotensi untuk mencetuskan perang nuklear.

Pada bulan Februari, kedua-dua kuasa nuklear itu terlibat dalam pertempuran udara di sempadan yang menyaksikan jet pejuang India ditembak jatuh.

India dilaporkan mempunyai dasar “tidak akan melancarkan serangan dahulu”, namun pada masa yang sama berhak untuk melancarkan serangan balas nuklear sekiranya ia diserang menggunakan senjata pemusnah besar-besaran atau Weapons of Mass Destruction (WMD).

Sementara itu, Pakistan pula mengisytiharkan bahawa ia hanya akan menggunakan senjata nuklear jika ia tidak mampu menghalang serangan dengan cara konvensional atau diserang dahulu menggunakan senjata nuklear.

Namun begitu, para penyelidik yang menghasilkan kertas kajian itu berkata bahawa walaupun mereka meletakkan senario yang menyaksikan Pakistan melancarkan serangan dahulu, ia tidak bermakna bahawa perkara tersebut cenderung untuk berlaku.

Sumber: AFP

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button