AntarabangsaIsu Semasa

MBS Ditanya Tentang Pembunuhan Khashoggi Dalam Wawancara Bersama CBS News. Apa Reaksinya?

Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Bin Salman yang juga dikenali sebagai MBS dalam satu wawancara bersama CBS Evening News baru-baru ini berkata bahawa sebagai pemimpin negara itu, beliau bertanggungjawab sepenuhnya ke atas pembunuhan wartawan The Washington Post, Jamal Khashoggi memandangkan kes itu melibatkan individu-individu yang bekerja dalam kerajaan.

Walaupun begitu, MBS menafikan tuduhan yang mendakwa bahawa beliau adalah dalang yang mengarahkan pembunuhan tersebut.

“Ia adalah jenayah yang kejam…Tetapi saya mengambil tanggungjawab penuh sebagai pemimpin di Arab Saudi, terutamanya kerana ia dilakukan oleh individu-individu yang bekerja untuk kerajaan Saudi.

“Apabila jenayah dilakukan ke atas rakyat Saudi oleh pegawai yang bekerja untuk kerajaan Saudi, sebagai pemimpin, saya perlu bertanggungjawab. Ia merupakan satu kesalahan, dan saya perlu mengambil segala tindakan untuk mengelaknya daripada berulang lagi pada masa akan datang,” katanya.

Ditanya sama ada beliau tahu tentang ‘operasi’ pembunuhan itu, MBS menjelaskan berkata:

“Sesetengah orang fikir saya patut tahu apa yang dilakukan oleh tiga juta orang yang bekerja dalam kerajaan Saudi setiap hari.

Ia mustahil bahawa tiga juta orang itu akan menghantar laporan harian mereka kepada pemimpin atau individu kedua yang tertinggi dalam kerajaan Saudi.”

Mengulas tentang laporan Agensi Perisikan Pusat Amerika Syarikat (CIA) berhubung dakwaan penglibatannya dalam kes tersebut, Mohammed mencabar agensi berkenaan untuk mendedahkan maklumat mereka kepada umum.

“Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang mendakwa saya, saya berharap agar ia dikemukakan secara umum,” jelas beliau.

MBS turut menegaskan tiada seorang pun wartawan yang menjadi ancaman kepada Arab Saudi, dan sebaliknya berkata bahawa apa yang berlaku kepada Khashoggi adalah ancaman sebenar.

Selain daripada kes pembunuhan wartawan terbabit, putera mahkota yang berkuasa itu turut ditanya tentang beberapa isu penting lain termasuk ketegangan Arab Saudi dengan Iran, peperangan di Yaman, dan juga hak asasi wanita.

HAK ASASI WANITA

Arab Saudi sedang melakukan pembaharuan besar yang turut menyaksikan hak asasi wanita semakin bertambah baik, termasuk memansuhkan larangan memandu dan membenarkan kaum hawa untuk memegang pasport tanpa kebenaran saudara lelaki terlebih dahulu.

Pengacara CBS Evening News, Norah O’Donnel juga bertanya MBS tentang dakwaan seorang aktivis wanita Saudi bernama Loujain Al-Hathoul diseksa dalam penjara.

“Sekiranya ia benar, ia adalah satu perkara yang amat kejam. Islam melarang penyeksaan. Undang-undang Saudi melarang penyeksaan, dan nurani manusia juga melarang penyeksaan. Saya secara peribadi akan mengatasi perkara ini,” katanya.

PEPERANGAN DI YAMAN

Berkenaan peperangan yang sudah berlanjutan selama lima tahun di Yaman, ini komen Putera Mohammed:

“Sekiranya Iran berhenti menyokong pemberontak Houthi, maka penyelesaian politik akan menjadi lebih mudah. Hari ini, kita membuka semua inisiatif penyelesaian politik di Yaman.”

Jelasnya lagi, Arab Saudi juga setiap hari berusaha untuk berunding demi mencapai penyelesaian yang secara aman.

Difahamkan, Houthi beberapa hari lalu dikatakan telah mengumumkan gencatan senjata.

“Kami melihat ini sebagai satu langkah positif untuk ke arah dialog politik yang lebih serius dan aktif,” ujar MBS.

KETEGANGAN BERSAMA IRAN DAN SERANGAN FASILITI MINYAK ARAMCO

MBS mempercayai bahawa serangan dron ke atas fasiliti minyak Aramco di Arab Saudi pada 14 September lalu merupakan tindakan perang (act of war).

Walau bagaimanapun, beliau mahu melihat penyelesaian damai kepada ketegangan yang sedang berlaku.

“Penyelesaian damai dan politik adalah lebih baik berbanding (penyelesaian) ketenteraan,” tegasnya.

Tambah beliau, peperangan bersama Iran hanya akan membawa kepada keruntuhan ekonomi Global.

MBS turut menggesa Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump untuk duduk semeja dan mengadakan perbincangan bersama Iran.

Sumber: Arab News

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button