AntarabangsaIsu Semasa

“Tiada Kuasa” Yang Mampu Menggugat China – Presiden Xi Jinping

China pada hari ini telah melaksanakan perarakan ketenteraannya yang disifatkan sebagai terbesar dalam sejarah sempena sambutan ulang tahun ke-70 pemerintahan Parti Komunis di negara itu.

Presiden¬† Xi Jinping yang merupakan pemimpin paling berkuasa sejak pemerintahan pengasas China, Mao Zedong, turut mengisytiharkan bahawa “tiada kuasa” yang mampu menggugat negaranya.

“Tiada kuasa yang mampu menggugat penubuhan negara hebat ini. Tiada kuasa yang boleh menghalang rakyat dan negara China daripada menjadi negara maju,” kata Xi.

Difahamkan, kira-kira 15,000 anggota tentera bersama kereta kebal, dron, jet pejuang, dan senjata-senjata canggih yang lain telah berarak di Chang’an Avenue bagi menyambut perjalanan transformasi China daripada sebuah negara yang dibelenggu peperangan dan kemiskinan kepada ekonomi kedua terbesar di dunia.

Beberapa senjata baru, termasuk dron hipersonik dan peluru berpandu balistik antara benua DF-41 yang dikatakan mampu mencapai sasaran di Amerika Syarikat (AS), telah membuat penampilan sulungnya ketika perarakan besar-besaran itu.

Tidak ketinggalan, Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) mempamerkan peralatan perkakasan baharu termasuk DF-41, peluru berpandu nuklear balistik antara benua yang mampu mencapai seluruh AS dan DF-17, pelancar untuk peluncur hipersonik.

Namun disebalik perayaan tersebut, terdapat pelbagai cabaran yang menguji keupayaan Xi untuk mengekalkan kestabilan ekonomi dan politik.

“Parti (Komunis) berharap perayaan ini akan meningkatkan legitimasinya dan meraih sokongan di tengah-tengah waktu yang menyaksikan cabaran dalaman dan luaran ini,” kata Adam Ni, seorang penyelidik China di Macquarie University di Sydney, Australia.

Perundingan perang dagang bersama AS berlanjutan, dan demam selesema babi yang merebak pula telah menjejaskan bekalan khinzir, sekali gus meningkatkan harga daging haiwan itu di China.

Tetapi, cabaran terbesar yang dihadapi China adalah Hong Kong, di mana jutaan penunjuk perasaan pro-demokrasi telah turun ke jalanan bagi menentang rang undang-undang ekstradisi yang menimbulkan kontroversi di wilayah itu, antaranya.

Xi pada Isnin berikrar untuk terus mengimplementasikan dasar satu negara, dua sistem secara “menyeluruh dan amanah”, di mana penduduk Hong Kong dapat menikmati kebebasan yang tidak diberi kepada rakyat di Tanah Besar.

Sementara itu, Ni menyatakan bahawa Beijing, menerusi perarakan sambutan ulang tahun ke-70 ini, mahu mempamerkan modernisasi ketenteraan, perpaduan politik, serta kecekalannya untuk melindungi kepentingannya.

Presiden Xi juga secara jelas berkata bahawa beliau mempercayai hanya Parti Komunis sahaja yang boleh merealisasikan impian China – dengan beliau yang memerintah.

“Parti Komunis akan terus memastikan ia kekal sebagai satu-satunya kuasa politik di China,” jelas Drew Thompson, seorang felo penyelidik kanan di Lee Kuan Yew School of Public Policy, Singapura.

Sumber: The International News, The Guardian

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button