Isu SemasaTempatan

Pengwujudan Saluran TV Anti-Islamofobia Tepat Pada Masanya

Kerjasama trilateral (tiga hala) di antara Malaysia, Pakistan, dan Turki bagi mewujudkan saluran televisyen Bahasa Inggeris untuk mengatasi Islamofobia dan memberikan penjelasan tepat tentang Islam yang sebenar merupakan langkah yang amat penting dalam waktu-waktu yang mencabar ini.

Menurut Pesuruhjaya Tinggi Pakistan ke Malaysia, Amma Baloch, inisiatif yang didedahkan oleh Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan pada Khamis lalu ini akan membantu menangani cabaran-cabaran yang dihadapi oleh masyarakat Muslim di seluruh dunia selain daripada menghapuskan salah faham tentang Islam dan dunia Islam.

“Objektifnya adalah amat jelas susulan kebangkitan Islamofobia, dan jika anda mengikuti perkembangan sejak setahun lepas…serangan ke atas beberapa buah masjid di New Zealand, isu Rohingya (dan) Palestin serta yang terbaru, isu Kashmir.

“Isu-isu ini secara langsung menjejaskan umat Islam, dan adalah penting untuk menyuarakan pandangan umat Islam menerusi satu cara yang efektif,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Perkhidmatan Berita Antarabangsa Bernama dalam satu wawancara di Suruhanjaya Tinggi Pakistan pada Jumaat, 27 September 2019.

Namun ujar Baloch, idea untuk mewujudkan saluran televisyen berkenaan masih lagi di peringkat awal dan butirannya akan didedahkan kemudian.

Dalam pada itu, beliau menyatakan bahawa Malaysia, Pakistan, dan Turki telah menerajui langkah untuk menangani semua cabaran tersebut memandangkan isu yang dihadapi oleh umat Islam, seperti Islamofobia, merupakan kebimbangan yang dikongsi bersama oleh kepimpinan Islam di seluruh dunia.

Jelas Baloch, ketiga-tiga negara itu mempunyai pelbagai persamaan, termasuk masyarakat sederhana yang mematuhi nilai-nilai demokratik, yang boleh dijadikan platform untuk menjalinkan kerjasama.

“Walaupun setiap negara mempunyai kepentingan nasionalnya yang tersendiri, isu berkaitan umat Islam adalah isu bersama. Saya amat yakin bahawa satu saluran berita yang dedikasi mampu melangkah jauh dalam mencapai objektif itu,” katanya.

Difahamkan, Imran telah mendedahkan inisiatif berkenaan menerusi akaun Twitternya pada minggu lepas dari New York selepas beliau bertemu dengan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan.

“Presiden Erdogan, PM Mahathir dan saya telah mengadakan satu pertemuan hari ini (Rabu), di mana kami membuat keputusan bahawa ketiga-tiga negara akan bersama-sama memulakan satu saluran televisyen berbahasa Inggeris yang didedikasikan bagi menangani cabaran Islamofobia dan memperbetulkan salah faham mengenai agama Islam kita yang syumul,” kata beliau.

Ketiga-tiga pemimpin itu berada di New York minggu lepas bagi menghadiri sesi ke-74 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA).

Sumber: The Sun Daily – Bernama

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button