AntarabangsaIsu Semasa

Tentera AS Dan Turki Diarah Keluar Dari Syria Dengan Segera

Menteri Luar Syria, Walid Al-Moallem dalam satu kenyataan baru-baru ini menggesa agar tentera Amerika Syarikat (AS) dan Turki berundur dari negara itu dengan segera.

Tegas beliau, kerajaan Syria mempunyai hak untuk mempertahankan wilayahnya dalam apa jua cara sekiranya pasukan AS dan Turki terus kekal di sana.

“Amerika Syarikat dan Turki mengekalkan kehadiran ketenteraannya secara haram di utara Syria. Sebarang pasukan asing yang beroperasi dalam wilayah kami tanpa kebenaran kami adalah tentera yang perlu berundur dengan segera.

“Sekiranya mereka ingkar, kami berhak untuk mengambil sebarang dan semua langkah tindak balas yang dibenarkan di bawah undang-undang antarabangsa,” kata Al-Moallem di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York pada Sabtu.

Memetik laporan Arab News, terdapat kira-kira 1,000 anggota tentera AS di Syria yang terlibat dalam operasi memerangi kumpulan militan Daesh.

AS juga membantu dan menyokong kumpulan Kurdish di timur laut yang menentang kerajaan Syria.

Presiden Donald Trump sebelum ini juga pernah berkata bahawa beliau mahu membawa pulang tentera-tentera AS, namun pegawai-pegawai tentera negara itu menyarankan agar langkah tersebut dilaksanakan secara berperingkat.

Sementara itu, Al-Moallem menyifatkan AS dan Turki sebagai negara yang angkuh kerana “mengadakan perbincangan dan mencapai persetujuan pengwujudan ‘zon selamat’ di dalam Syria” seolah-olah ia adalah tanah mereka sendiri.

Ujar beliau, sebarang perjanjian yang dicapai tanpa persetujuan kerajaan Syria adalah ditolak sama sekali.

Selama lebih daripada 8 tahun, perang saudara di Syria telah menyaksikan banyak tentera asing dan ribuan pejuang luar bergelut untuk memperoleh kuasa.

Pergolakan ini juga telah menyebabkan jutaan rakyat Syria melarikan diri dari tanah air mereka, dan hidup sebagai pelarian di Turki, Jordan, Lebanon, dan pelbagai negara lain di seluruh dunia.

Pada masa yang sama, ratusan ribu orang awam dilaporkan telah terbunuh.

Difahamkan, kerajaan Syria telah berjaya mengawal semula kebanyakan bahagian di negara itu, namun kumpulan pemberontak dan pelampau masih lagi memegang Idlib di bahagian barat laut, manakala puak Kurdish yang disokong AS pula mengawal kawasan timur laut yang kaya dengan minyak.

Sumber: Arab News

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button