AntarabangsaIsu SemasaPolitik

Indonesia: Semakin Ramai Belia Mula Berminat Mempelajari Politik

Walaupun millennial di seluruh dunia, termasuk Indonesia secara umumnya dilihat sebagai golongan yang tidak berminat dengan politik, namun terdapat semakin ramai anak muda yang kini mula menunjukkan minat dalam bidang ini.

Situasi ini sekali gus menyebabkan banyak parti politik di Indonesia mula memberi peluang kepada belia untuk terlibat secara langsung dalam politik.

Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) merupakan antara parti yang mengambil pendekatan ini, dengan menarik generasi muda dalam politik menerusi program internship yang dikenali sebagai Banteng Muda, merujuk kepada simbol parti tersebut.

Program itu, yang turut bertujuan untuk memulihkan semula parti tersebut, juga terbuka kepada graduan-graduan universiti daripada pelbagai latar belakang.

Pelatih-pelatih yang terpilih untuk menjalani Banteng Muda akan ditugaskan untuk membantu anggota-anggota Majlis Perundangan Jakarta (DPRD) dalam beberapa perkara.

Menurut Pengerusi PDI-P, Gembong Warsono, program berkenaan juga direka untuk memperkenalkan generasi muda kepada pelbagai undang-undang bagi meningkatkan kualiti hidup masyarakat.

“Pelatih akan diminta untuk melawat komuniti untuk mendengar dan mengumpul aspirasi penduduk. Mereka kemudian akan mengemukakan pertanyaan dan cadangan rakyat kepada badan perundangan.

“Seterusnya, kedua-dua pelatih dan anggota kanan majlis perundangan akan bekerjasama dalam mereka draf undang-undang yang akan diperkenalkan oleh parti ketika mesyuarat-mesyuarat DPRD dengan harapan draf itu diluluskan dan dikuatkuasakan dengan segera,” kata Gembong.

Selain itu, Gembong menyatakan bahawa para pelatih juga akan membantu majlis perundangan dalam memperuntukkan bajet serantau Jakarta (APBD).

“Sebagai parti yang mempunyai paling ramai ahli dalam DPRD Jakarta, kita perlu menjaga pengurusan APBD dengan baik.

“Namun, bajet bandar itu amat besar dan oleh itu, akan ada masa anggota-anggota majlis perundangan akan mengamanahkan pelatih dalam merangka pelan pengagihan dengan sendiri,” jelas beliau.

Apabila ditanya tentang kriteria pelatih yang dicari PDI-P, Gembong berkata bahawa partinya tidak mengehadkan pemohon berdasarkan latar belakang ijazah universiti tertentu.

“Semua pemegang ijazah universiti dialu-alukan. Perkara yang paling penting adalah mereka mempunyai keinginan untuk membina kerjaya dalam politik dan tidak malu untuk mendekati orang ramai,” ujarnya.

Dalam pada itu, individu yang berminat untuk menjadi pelatih juga perlu mengemukakan karangan 2,000 perkataan minimum tentang mengapa mereka mahu menyertai program tersebut, dan sertakan dengan resume mereka.

Setakat bulan September, PDI-P dilaporkan telah menerima lebih daripada 600 permohonan. Penglibatan millennial dalam politik juga semakin berkembang dalam parti-parti lain.

Parti Golongan Karya (Golkar) yang merupakan jentera politik bekas Presiden Indonesia, Soeharto juga meramalkan kebangkitan ahli-ahli politik muda, seperti Dyah Roro Esti, 26, yang dilantik sebagai Ahli Dewan Perwakilan Rakyat bagi penggal 2019 – 2024.

Sumber: The Star – Jakarta Post

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button