Teknologi

Bermain ‘Video Game’ Di Pusat Rawatan Orang Tua Adalah Cara Pemulihan Terkini!

Dengan peningkatan jumlah warga tua di serata dunia, lebih banyak permintaan untuk penjagaan warga emas.

Di China, walaupun bayaran untuk menjaga warga emas memiliki pengiktirafan serta gaji yang tinggi, tetapi masih tidak cukup untuk menampung keperluan pasaran.

Gaji untuk penjaga warga emas di China dianggarkan purata sebanyak RM8,800 sebulan di bandar-bandar utama dan rumah jagaan pula adalah di antara RM2,950 sebulan sehingga RM11,750.

Oleh sebab itu beberapa syarikat serta institusi sedang membina kecerdasan buatan (AI) yang mampu menyokong keperluan industri ini.

Game Menggantikan Latihan Fizikal

Buat masa ini, sebuah pusat komuniti di Shanghai sudah memiliki pusat pemulihan yang menggunakan permainan elektronik untuk orang berusia menggunakannya bagi menggantikan rutin latihan fizikal mereka.

South China Morning Post melihat seorang warga tua berusia 84 tahun menggunakan ganggang permainan video sambil melihat skrin besar dihadapannya dan mengawal ganggang tersebut ke arah buah-buahan di skrin.

Perkara ini merupakan latihan untuk dirinya yang telah mengalami keretakan di tangan kanannya setelah jatuh setahun yang lalu,

“Permainan ini sangat menarik dan ia membuat diri saya gembira,” katanya dalam dialek Shanghai.

“Kami memiliki juruterapi untuk melihat keadaan kami semasa menggunakan alat ini. Oleh itu saya tidak takut untuk menggunakan teknologi dan mesin walaupun perkara ini baharu untuk saya,” kata Lingmei yang tinggal di Pusat Komuniti Orang Tua Lujiazui.

 

Dari Tilam Pintar Hingga ‘Tracker’ Untuk Tahu Keberadaan Penghuni

Teknologi seperti ini dijangka berkembang dengan mendadak untuk tahun yang akan datang bagi memperbaiki keadaan serta sistem penjagaan orang-orang tua di China.

Di Pusat Komuniti Orang Tua Lujiazui, mereka merupakan institusi pertama dalam daerah Pudong, Shanghai untuk menggunakan tilam pintar yang memiliki sensor bagi memantau kesihatan pesakit di pusat tersebut.

Data ini kemudiannya akan dikongsi bersama ahli keluarga serta kakitangan perubatan di situ.

Mereka juga menggunakan teknologi GPS bagi mendapatkan lokasi sekiranya pesakit mereka “hilang” daripada pusat tersebut.

Bantu Untuk Tidak Bergantung Penuh Kepada Juruterapi

Bagi pusat komuniti tersebut, teknologi seperti ini telah membantu mereka untuk tidak bergantung sepenuhnya kepada juruterapi walaupun tidak menidakkan keperluan juruterapi tetapi ia sedikit sebanyak membantu dalam kegiatan yang memerlukan waktu yang panjang serta kerja-kerja yang berulang.

Mesin terbaharu yang dimiliki pusat ini juga boleh memantau tiga pesakit sekali gus.

Masih Perlu Kajian Untuk Bina Robot Menggantikan Manusia

Menurut Chen Xiaoping, seorang profersor dari University of Science and Technology of China (USTC) pembuatan robot untuk perkhidmatan perubatan seperti mengingatkan pesakit untuk makan ubat telah berada di pasaran selama 10 tahun tetapi mereka ingin membina robot dengan AI yang boleh melakukan kerja-kerja seorang pembantu dan teknologi ini bukanlah semudah membina jam alarm.

Chen berharap teknologi robot akan menjadi lebih popular dalam masa tiga hingga lima tahun yang akan datang dengan harga yang jauh lebih murah dari sekarang serta lebih canggih.

“Kami belum lagi dapat kejayaan sepenuhnya tetapi keputusan positif yang didapati sekarang telah menggalakkan kami untuk terus bekerja dengan lebih keras,”kata Chen.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button