AntarabangsaIsu Semasa

Arab Saudi Akhirnya Buka Pintu Untuk Industri Pelancongan

Arab Saudi membuka pintu kepada pelancong asing pada hari Jumaat, melancarkan rejim visa baru untuk 49 negara dan menyeru kepada syarikat asing untuk melabur dalam sektor yang diharapkan akan menyumbang 10% daripada keluaran dalam negara kasar menjelang 2030.

Kerajaan Muslim ultra-konservatif yang agak tertutup selama beberapa dekad itu, telah melonggarkan kod sosial yang ketat dalam beberapa tahun kebelakangan, seperti mengasingkan lelaki dan wanita di tempat awam dan mengharuskan wanita memakai jubah berwarna hitam atau abaya.

Ketua Pelancongan Ahmed al-Khateeb memberitahu Reuters bahawa abaya tidak akan diwajibkan bagi pelancong wanita tetapi pakaian sopan termasuk di pantai umum adalah perlu.

Walau bagaimanapun, alkohol masih diharamkan. Ia juga tidak jelas jika lelaki dan wanita asing yang belum berkahwin dibenarkan untuk berkongsi bilik hotel.

Visa akan tersedia dalam talian dengan nilai US$ 80, tanpa sekatan untuk wanita yang tidak disertai peneman seperti dahulu. Namun, akses ke kota suci Mekah dan Madinah adalah terhad.

Keputusan Kementerian Dalam Negeri itu mengiringi pelancaran rejim visa yang membenarkan pelancong dari 49 negeri melawat negara yang paling tertutup di dunia. China, Jepun, Eropah dan Amerika Syarikat adalah antara sasaran utama.

Sehingga kini, warga asing yang mengunjungi Arab Saudi adalah terhad kepada pekerja pemastautin dan tanggungan mereka, pengembara perniagaan, dan jemaah haji yang diberi visa khas untuk melawat Mekah dan Madinah.

Pelan untuk membenarkan kemasukan sejumlah besar pelancong telah dibincangkan selama bertahun-tahun tetapi disekat oleh pendapat konservatif dan birokrasi. Satu e-visa untuk acara sukan dan konsert telah diperkenalkan Disember lalu.

Pergerakan ini merupakan sebahagian daripada rancangan Putera Mahkota Mohammed bin Salman untuk membangunkan industri-industri baru termasuk memperkenalkan hiburan yang dilarang sebelum ini.

Banyak reformasi beliau menerima pujian antarabangsa, tetapi imejnya telah dicemari oleh pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi tahun lalu, penangkapan pengkritik termasuk aktivis wanita terkemuka, dan perang yang dahsyat di Yaman.

Arab Saudi juga telah mengeluarkan senarai denda bagi 19 kesalahan yang berkaitan dengan kesopanan awam, seperti pakaian yang tidak sopan dan memamerkan kasih sayang di tempat awam, membuang sampah, meludah, memotong barisan, mengambil gambar dan video orang tanpa izin dan bermain muzik pada waktu solat. Denda adalah antara US$ 13 hingga US$ 1,600 (RM54.50 hingga RM6,700).

Negara Teluk yang bersempadan dengan Iraq di utara dan Yaman di selatan itu, menawarkan kawasan padang pasir yang luas, gunung-gunung hijau, pantai dan tapak bersejarah termasuk lima Tapak Warisan Dunia Unesco.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button