Isu SemasaTempatan

Tun M – “Bersiap Sedia Untuk Perubahan Iklim, Bukan Peperangan”

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bertegas kepada masyarakat antarabangsa supaya memberi perhatian kepada perubahan iklim dan bencana alam daripada melakukan persiapan untuk berperang.

“Kita perlu membuat persediaan untuk memerangi perubahan iklim, untuk mengembalikan persekitaran normal yang dinikmati sejak ribuan tahun lalu,” katanya.

Ketik Perbahasan Umum Sesi ke-74 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York pada Jumaat 27 September 2019, beliau turut menyatakan bahawa negara-negara di dunia perlu melakukan persiapan untuk berdepan gempa bumi besar, taufan dan ribut, serta banjir dan tanah runtuh.

“Kita harus belajar bagaimana untuk mengurangkan bencana alam ini. Kita perlu membina tempat perlindungan, membuat hujan buatan dan menghasilkan makanan tanpa cahaya matahari, berpindah dari tepi laut dan sebagainya,” ujar beliau.

Sementara itu, Dr Mahathir menegaskan pasukan pakar bencana yang serba lengkap harus sentiasa berada dalam keadaan bersiap siaga untuk segera pergi ke kawasan-kawasan bencana, dengan menekankan bahawa setiap bencana adalah bencana dunia.

“Semua bencana alam itu mungkin tidak berlaku. Tetapi kita tidak boleh bergantung kepada itu. Kita membazir wang melakukan persiapan untuk berperang, mencipta lebih banyak senjata pemusnah sedangkan kita semua boleh dilenyapkan oleh bencana alam ketika planet ini melalui kitaran seterusnya,” jelasnya.

Tambah beliau, manusia merupakan makhluk yang bijak dan masih boleh bertahan dalam kitaran perubahan iklim yang seterusnya sekiranya mampu melahirkan para penyelidik yang dapat menghasilkan sistem pertahanan terhadap malapetaka.

“Sekiranya kita mengurangkan belanjawan kita untuk membunuh orang, kita akan mempunyai dana untuk penyelidikan dan persediaan,” tegas Dr Mahathir.

 

Sumber: The Sun Daily – Bernama

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button