Isu SemasaTempatan

Ramai Rakyat Malaysia Ketagih Dengan Internet?

Ketagihan rakyat Malaysia terhadap peranti digital dan Internet boleh mendatangkan kesan sosial dan tingkah laku negatif memandangkan semakin ramai orang yang semakin ‘terlekat’ dengan kandungan-kandungan atas talian.

Berdasarkan sebuah kaji selidik yang dilakukan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) tentang pengguna Internet pada tahun lepas, rakyat Malaysia secara purata meluangkan 6.6 jam melayari Internet setiap hari.

Satu lagi kajian oleh SKMM pada 2017 pula mendapati bahawa 89% responden ketagih terhadap Internet, dengan 60% menunjukkan tahap keresahan yang meningkat, dan 1/3 daripada mereka pula mengalami kemurungan teruk.

Baru-baru ini juga, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail meluahkan kebimbangannya terhadap penggunaan ekstrem Internet yang boleh membawa kepada ketagihan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Galen Centre for Health and Social Policy, Azrul Mohd Khalib memberi amaran bahawa kebergantungan yang berlebihan kepada Internet boleh mendatangkan kesan negatif dari segi tingkah laku.

“Mereka yang mengalami ketagihan digital selalunya akan menunjukkan tanda-tanda yang biasanya berkaitan dengan penagihan dadah, termasuk gelisah, berahsia, dan menjauhkan diri daripada rakan dan keluarga.

“Terdapat juga peningkatan dari segi kesunyian dan kemurungan, keresahan dan tekanan, tidak mampu fokus, kekurangan tidur, dan menjadi lebih mementingkan diri. Semua ini mempunyai implikasi sosial,” katanya kepada The Malaysian Reserve (TMR) baru-baru ini.

Menurut pakar psikiatri, mereka yang ketagih dengan Internet boleh mengalami simptom-simptop tingkah laku kompulsif yang melemahkan diri, termasuk ketidakupayaan untuk berfungsi dalam persekitaran sosial serta perubahan tingkah laku.

Antara petanda biasa lain yang menunjukkan ketagihan digital adalah kemarahan, kerunsingan, dan kesedihan apabila akses terhadap internet dihadkan atau disekat.

Tetapi Azrul berkata, fenomena digital memerlukan kajian lebih lanjut untuk memahami situasi ini dengan lebih baik.

“Ia juga perlu dilihat sebagai isu kesihatan awam, yang memerlukan tahap rawatan dan penjagaan yang sama seperti orang yang mengalami ketagihan dadah,” katanya.

Penyalahgunaan Internet, sama seperti teknologi-teknologi lain, adalah tidak dapat dielakkan.

Penggunaannya secara berlebihan yang menyebabkan kerosakan fizikal dan mental kini menjadi salah satu cabaran utama dalam masyarakat moden.

Difahamkan, ketagihan Internet sudah mula menjadi kebimbangan global sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Walaupun tidak diiktiraf sebagai penyakit dalam buku teks rasmi, penyelidik dan ilmuan di seluruh dunia berusaha secara aktif untuk meningkatkan kesedaran mengenai betapa seriusnya ketagihan internet ini.

Di Malaysia, jumlah pengguna Internet telah meningkat daripada 76.9& pada tahun 2016 kepada 87.4% tahun lepas.

Sumber: The Malaysian Reserve (TMR)

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button