AntarabangsaIsu Semasa

AS Hantar ‘Patriot’ Ke Arab Saudi

Amerika Syarikat (AS) pada Khamis, 26 September 2019 mengumumkan penghantaran 200 anggota tentera dan peluru berpandu Patriot ke Arab Saudi dalam usaha meningkatkan pertahanan negara itu susulan beberapa insiden serangan ke atas fasiliti minyaknya sejak bulan lepas, yang didakwa dilakukan oleh Iran.

Jabatan Pertahanan AS dalam satu kenyataan berkata, penghantaran bantuan itu akan melibatkan satu bateri peluru berpandu permukaan ke udara, bersama empat radar Sentinel yang digunakan untuk sistem pertahanan udara dan peluru berpandu.

Sementara itu, dua lagi bateri Patriot dan sebuah sistem pemintas peluru berpandu balistik THAAD turut sedang disiapsiagakan sekiranya ia perlu dihantar kepada Arab Saudi sebagai tambahan, kata jurucakap Pentagon, Jonathan Hoffman.

“Penghantaran ini akan meningkatkan lagi pertahanan udara dan peluru berpandu bagi infrastruktur penting tentera dan orang awam.

“Langkah ini diambil susulan beberapa serangan terbaru ke atas Arab Saudi. Adalah penting untuk memberi perhatian bahawa langkah-langkah ini menggambarkan komitmen kami kepada rakan kongsi serantau, dan keselamatan dan kestabilan di Timur Tengah.

“Negara-negara lain telah mengkritik tindakan Iran di dalam rantau ini, dan kami juga berharap mereka boleh menyumbang aset-aset menerusi sebuah usaha antarabangsa untuk mengukuhkan pertahanan Arab Saudi,” kata beliau.

Difahamkan, AS menuduh Iran sebagai dalang di sebalik insiden serangan dron dan peluru berpandu pelayaran pada 14 September lalu walaupun pemberontak Houthi mengaku bertanggungjawab melancarkannya.

Serangan tersebut telah merosakkan fasiliti minyak Arab Saudi, sekali gus menjejaskan keluaran minyak negara itu.

Walau bagaimanapun, Iran secara keras menafikan penglibatannya, dan Presiden Hassan Rouhani pada Khamis turut mencabar AS serta pihak lain untuk mengemukakan bukti bagi menyokong tuduhan-tuduhan yang telah dilemparkan.

Sumber: The Sun Daily – AFP

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button