AntarabangsaIsu Semasa

Mesir Berdepan Gelombang ‘Arab Spring’ Sekali Lagi?

Ribuan rakyat Mesir telah turun ke jalanan sejak hujung minggu lepas lalu bagi melakukan protes terhadap gejala rasuah yang berlaku dalam kerajaan pimpinan Presiden Abdel Fattah al-Sisi.

Dalam perkembangan terbaru, pihak berkuasa negara itu dilaporkan telah menahan lebih daripada 1,000 penunjuk perasaan yang terlibat dalam protes ‘anti-Sisi’ itu.

Sisi dilantik sebagai Presiden pada tahun 2014 dengan memperoleh 97% undian dalam pilihan raya umum. Beliau juga berjaya mengekalkan kedudukannya dalam pilihan raya 2018 dengan meraih peratus undian yang sama.

Pilihan raya itu amat mudah untuk dimenangi oleh Sisi. Beliau hanya mempunyai seorang pencabar – yang juga penyokong tegarnya – yang berdaftar pada saat-saat akhir.

Pencabar-pencabar lain pula dikatakan tidak dibenarkan untuk bertanding atau menarik diri.

Walau bagaimanapun, populariti Sisi kini semakin merudum berikutan langkah penjimatan ekonomi yang diperkenalkan oleh beliau.

MENGAPA RAKYAT MESIR LAKUKAN PROTES?

Protes tersebut diseru oleh Mohamed Aly, iaitu seorang ahli perniagaan Mesir yang sedang hidup dalam buangan di Sepanyol.

Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, beliau mendedahkan gejala rasuah yang berlaku dalam pentadbiran Sisi menerusi beberapa video yang sudah tular, sekali gus mencetuskan perdebatan awam yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Video tersebut mendakwa bagaimana wang pembayar cukai digunakan untuk membina ‘istana’ mewah bagi Sisi, dan ia ternyata memberi kesan terhadap rakyat Mesir yang terbeban dengan pembaharuan ekonomi yang diperkenalkan oleh kerajaan beliau sejak tahun 2016.

“Imej yang mahu dibawa oleh Sisi yang menggambarkannya sebagai penyelamat Mesir daripada pemerintahan Muslim Brotherhood (Ikhwanul Muslimin)…sudah musnah sepenuhnya,” kata Hassan Nafaa, seorang pakar politik di Cairo University.

Difahamkan, Sisi mengetuai rampasan kuasa yang dilancarkan ke atas pemerintahan bekas presiden, Mohamed Morsi pada tahun 2013.

Dalam pada itu, Nafaa menjelaskan bahawa rakyat Mesir “telah menanggung beban dasar-dasar yang diperkenalkan oleh Sisi.”

“Mohamed Aly muncul secara tiba-tiba untuk menjadi wira dalam keadaan tertentu. Dia berjaya ‘membongkar’ Sisi (yang sebenar),” ujar beliau kepada AFP.

Namun begitu, Sisi secara keras menafikan tuduhan rasuah yang ke atasnya sambil menyifatkan dakwaan-dakwaan tersebut sebagai “penipuan dan fitnah.”

SIAPA YANG MELAKUKAN PROTES?

Pada tahun 2013, Mesir telah meluluskan sebuah undang-undang anti-protes selepas kerajaan Morsi digulingkan.

Pentadbiran Sisi dilaporkan telah mengambil tindakan keras dan memenjarakan ribuan penyokong Muslim Brotherhood, aktivis sekular, dan juga blogger serta pelawak yang membantah pemerintahan beliau.

Insiden terbaru menyaksikan tangkapan Mahienour El-Massry, seorang peguam hak asasi manusia yang ditahan pada Ahad lalu.

Sementara itu, Nafaa menyatakan bahawa gelombang baru penunjuk perasaan kali ini tidak berapa aktif dalam politik sebelum mereka menyaksikan video-video Aly.

Mereka dikatakan amat terkejut dengan maklumat terperinci yang didedahkan dalam video itu.

“Para penunjuk perasaan itu adalah mereka yang ‘dimusnahkan’ secara sosial. Mereka berkata kepada diri mereka, ‘kita tidak akan rugi apa-apa’ dengan melakukan protes,” tambah Nafaa.

APA AKAN BERLAKU SELEPAS INI?

Difahamkan, Aly telah menyeru orang ramai untuk mengadakan “perhimpunan sejuta orang” pada Jumaat ini dengan menggelarnya sebagai “revolusi rakyat” yang berikrar untuk menggulingkan pemerintahan Sisi.

Penganalisis berkata bahawa keadaan ini menyaksikan kemarahan orang ramai yang semakin meningkat, dan ini mungkin bermakna lebih banyak protes akan diadakan pada hari-hari akan datang.

“Apa yang berlaku pada hari Jumaat itu adalah petanda yang membimbangkan bagi pihak berkuasa. Orang ramai keluar untuk protes walaupun dalam keadaan yang dipantau dengan ketat.

“Saya yakin bahawa protes-protes ini tidak akan terhenti setakat ini sahaja, tetapi ia juga sukar untuk meramalkan apa yang akan berlaku selepas ini,” kata penganalisis politik, Mustapha al-Sayyid.

Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menzahirkan sokongan kukuh kepada Sisi, dengan berkata bahawa AS dan Mesir menjalinkan ‘hubungan jangka masa panjang yang baik’.

“Semua orang melakukan demonstrasi. Saya tidak bimbang dengannya. Mesir mempunyai seorang pemimpin yang hebat,” ujar Trump.

 

Sumber: Africa News, Reuters

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button