Isu SemasaTempatan

Ramai Bakat Tempatan Dalam Sektor Teknologi Beralih Ke Singapura

Bakat-bakat tempatan dalam sektor teknologi dilihat beralih ke Singapura untuk mendapatkan peluang yang lebih baik, terutamanya bagi syarikat-syarikat start-up, menurut pakar industri.

Pengarah Teknikal Alsid di Asia Pasifik dan Jepun, Kenneth Teo menyatakan bahawa kematangan industri teknologi di Singapura menyediakan ‘tanah yang lebih subur’ bagi start-up untuk berkembang.

“Kedua-dua Malaysia dan Singapura menarik bagi start-up baru untuk menubuhkan pangkalan mereka. Namun, saya melihat peluang perniagaan yang lebih baik di Singapura kerana perniagaan-perniagaan di sana lebih sanggup untuk melabur dalam teknologi baru.

“Dasar kerajaan juga menjadikannya lebih mudah bagi start-up untuk berkembang maju,” kata Teo dalam satu wawancara bersama The Malaysian Reserve (TMR).

Berdasarkan pengalamannya, Teo berkata bahawa syarikat-syarikat di Singapura lebih bersedia dalam menerima teknologi baru, sementara negara-negara jirannya selalu mengambil pendekatan ‘tunggu dan lihat’.

Dalam pada itu, syarikat-syarikat di Singapura juga dikenakan cukai yang lebih rendah. Namun menurut Teo, perkara itu tidak menjadi faktor utama yang menyebabkan peralihan bakat tempatan ke sana.

“Saya tidak rasa syarikat-syarikat tertarik dengan Singapura hanya kerana cukainya lebih rendah. Bagus untuk perkara mempunyai banyak manfaat, tetapi keberdayasaingan dan kematangan syarikat adalah lebih penting.

“Justeru, saya rasa Malaysia juga agak berdaya saing dari segi akses kepada pasaran-pasaran serantau. Pengangkutan udara dan penyewaan pejabat yang lebih murah juga mengimbangi potensi cukai yang lebih tinggi di Malaysia,” ujarnya.

Menurut seorang lagi pakar industri, start-up memilih Singapura berbanding Malaysia disebabkan dua sebab utama iaitu pembiayaan dan bakat utama.

“Bakat utama ada di Malaysia, tetapi disebabkan gaji yang tidak berubah, bakat lebih terbuka untuk beralih ke negara-negara lain yang menawarkan peluang yang lebih baik,” kata pakar itu.

Salah seorang bakat tempatan yang telah memindahkan operasi mereka ke Singapura sejak beberapa tahun kebelakangan ini termasuk Anthony Tan, pengasas syarikat e-hailing Grab. Syarikat tersebut elah berindah ke Singapura pada tahun 2014.

Selain itu, syarikat Ohmyhome yang beroperasi di Singapura juga diasaskan oleh dua orang adik beradik perempuan kelahiran Malaysia, iaitu Race dan Rhonda Wong.

Tahun lepas, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kerajaan berusaha untuk ‘memikat’ semula bakat tempatan di Singapura untuk kembali beroperasi di Malaysia.

Jelas pakar industri, kerajaan Malaysia perlu melakukan lebih banyak pelaburan dalam sektor teknologi, sama ada menerusi penubuhan dana start-upnya sendiri atau perusahaan milik kerajaan.

Tambahnya, kerajaan juga harus memahami bahawa melabur dalam start-up sektor teknologi bukan hanya akan memanfaatkan sektor itu, malah berpotensi memberi impak terhadap ekonomi secara menyeluruh.

“Di Indonesia, start-up seperti Gojek, Traveloka dan Tokopedia memulakan trend membayar gaji yang lebih baik, sekali gus menyebabkan pertumbuhan gaji secara menyeluruh dalam sektor itu,” katanya.

Sumber: The Malaysian Reserve (TMR)

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button