AntarabangsaIsu Semasa

Bagaimana China Berubah Dalam Tempoh 70 Tahun?

Republik Rakyat China (PRC) akan menyambut ulang tahun penubuhannya yang ke-70 dalam masa beberapa hari lagi.

Sejak diasaskan pada 1 Oktober 1949 sehingga ke hari ini, China telah menjalani pembaharuan pesat dalam pelbagai aspek.

70 tahun lalu, majoriti penduduk negara itu menetap di kawasan luar bandar, manakala hanya 10% sahaja yang tinggal di bandar.

Pada tahun 2019, China kini menjadi sebuah negara maju yang mempunyai sekurang-kurangnya enam bandar mega yang merekodkan populasi 10 juta atau lebih. Bukan itu sahaja, malah kira-kira 60% penduduk di negara komunis itu dilaporkan menetap di bandar pada zaman ini.

Sementara itu, lebih daripada 100 bandar di China mempunyai populasi penduduk lebih daripada sejuta orang.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), saiz Beijing telah meningkat sebanyak tiga kali ganda berbanding 50 tahun dahulu.

Lima daripada bangunan tertinggi di dunia juga kini terletak di tanah besar itu, dan separuh daripada penggunaan simen di seluruh dunia adalah di China.

Antara pemimpin yang dianggap paling berkuasa di China sepanjang tempoh 70 tahun ini adalah Mao Zedong (pengasas China) dan Xi Jinping.

Tetapi, pemerintahan Mao penuh dengan huru-hara, di mana puluhan juta orang dilaporkan maut akibat kebuluran ketika zaman kempen ekonomi dan sosialnya, Great Leap Forward. Pergolakan juga semakin meningkat ketika Revolusi Kebudayaan di bawah pemerintahan Mao sebelum beliau meninggal dunia pada tahun 1976.

Xi pula, yang kini berusia 66 tahun, telah mengukuhkan lagi kuasanya apabila Parlimen melakukan beberapa pindaan Perlembagaan, termasuk memansuhkan had penggal pemerintahan Presiden.

Pindaan ini sekali gus membolehkan beliau untuk memerintah selama-lamanya.

Difahamkan pada tahun 1949, Kesatuan Soviet dan Jerman Timur merupakan antara sebilangan kecil negara di dunia yang mengiktiraf PRC.

Walaupun mempunyai permulaan yang agak lembab, China pada tahun 2019 kini menjadi kuasa besar global dan ekonomi kedua terbesar di dunia.

Ekonominya mula berkembang pesat selepas menyertai Pertubuhan Perdagangan dunia pada tahun 2001, dan inisiatif-inisiatif terbaru seperti Belt and Road yang diperkenalkan China telah memperluaskan lagi pengaruhnya di Asia, Afrika, malah juga Eropah.

Pada penghunjung 2018, statistik menunjukkan bahawa negara itu mempunyai 829 juta pengguna internet, sekali gus menjadikannya pasaran internet terbesar di dunia.

Daripada jumlah itu, 817 juta atau 98% rakyatnya menggunakan telefon bimbit untuk melayari internet. Ini juga menjadikan China sebagai pasaran telefon pintar yang terbesar di dunia.

Pada tahun 1949, hanya kira-kira 50,000 kenderaan wujud di negara itu. Menurut statistik kerajaan, kini terdapat lebih daripada 409 juta pemandu di China.

Dengan jumlah populasi keseluruhan 1.4 bilion penduduk, ia juga menjadi pasaran kenderaan yang terbesar selain daripada memiliki lebih banyak hospital berbanding mana-mana negara di dunia.

Walau bagaimanapun, China juga dikenali sebagai sebuah negara yang paling banyak melaksanakan hukuman mati setiap tahun.

Organisasi hak asasi manusia antarabangsa, Amnesty International, menyatakan bahawa China merupakan ‘penghukum bunuh’ yang teratas di dunia, dengan ribuan individu yang dijatuhkan hukuman mati setiap tahun.

Sumber: New Straits Times – AFP

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button