Isu SemasaTempatan

Adakah Pengwujudan Akta Khusus Jerebu Akan Mampu Mengakhiri Bencana Tersebut?

Jerebu rentas sempadan yang melanda negara-negara Asia Tenggara, termasuk Malaysia, sudah menjadi satu fenomena tahunan.

Setiap tahun, udara negara kita pasti akan merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap yang tidak sihat, berpunca daripada tindakan segelintir pihak  tidak bertanggungjawab yang melakukan pembakaran haram secara berleluasa di negara jiran, Indonesia.

Setiap tahun juga menyaksikan naratif yang sama. Pembakaran bermula, asap merebak, dan kabus itu akan menjejaskan kebolehlihatan. Apabila IPU mencatatkan paras tinggi, kesihatan orang ramai terjejas, sekolah-sekolah akan ditutup, malah sesetengah penerbangan juga terpaksa dibatalkan.

Walaupun pelbagai langkah telah diambil untuk menangani fenomena ini, namun ia masih lagi berlaku dan dilihat seolah-olah tidak berpenghujung.

Buat masa ini, terdapat beberapa rangka kerja pengawalseliaan yang sudah diwujudkan dan boleh digunakan untuk mengambil tindakan ke atas syarikat-syarikat atau individu yang menyebabkan jerebu itu.

Sebagai contoh, Singapura mempunyai undang-undang Akta Jerebu Rentas Sempadan 2014 yang memperuntukkan bahawa sebarang tindakan yang menyebabkan pencemaran udara di republik itu sebagai satu perbuatan jenayah.

Di bawah Akta tersebut, syarikat yang disabitkan bersalah boleh dikenakan denda sehingga S$100,000 (RM304,099) bagi setiap hari jerebu itu berlaku.

Sementara itu, Indonesia mempunyai pelbagai undang-undang yang melarang pembakaran hutan, namun penguatkuasaannya terbatas akibat undang-undang hak tanah, dan juga gejala rasuah yang berleluasa.

Undang-undang hak tanah yang terlalu luas menjadikannya mustahil untuk mengumpul fakta-fakta sewajarnya ke atas sumber pencemaran yang diperlukan untukmelakukan pendakwaan secara berkesan.

Malaysia pula mempunyai dasar pembakaran sifar di bawah Akta Kualiti Alam Sekitar 1974, yang memperuntukkan bayaran denda tidak melebihi RM500,000 atau hukuman penjara tidak melebihi tempoh lima tahun.

Tetapi, undang-undang itu hanya terpakai bagi kesalahan yang dilakukan di dalam negara sahaja, sekali gus membuatkan ia tidak berkesan sekiranya pembakaran dilaksanakan di luar negara.

Di peringkat serantau pula, krisis alam sekitar yang berlaku pada lewat 1990-an membawa kepada penubuhan Perjanjian Asean Mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan pada tahun 2002.

Perjanjian tersebut bagaimanapun tidak jelas dan kekurangan mekanisme penguatkuasaan serta instrumen bagi sebarang penyelesaian pertikaian.

Memandangkan syarikat-syarikat perladangan mempunyai pengaruh yang besar dalam landskap politik dan ekonomi Malaysia, ia akan menjadi satu perkara yang menarik untuk melihat bagaimana undang-undang ini (sekiranya diluluskan), akan dilaksanakan.

Baru-baru ini juga, ratusan individu telah berkumpul di Kuala Lumpur dan mengadakan protes untuk mendesak kerajaan bertindak bagi menangani isu perubahan iklim.

Ia termasuk desakan agar kerajaan mewujudkan mewujudkan Akta Jerebu dan Pencemaran Rentas Sempadan, dan pembentukan jawatankuasa khas untuk menyiasat syarikat-syarikat yang dikaitkan dengan punca jerebu.

Ahli Parlimen Subang, Wong Chen yang turut hadir di perhimpunan tersebut menyatakan bahawa beliau mahu melihat gergasi-gergasi korporat dan syarikat swasta untuk mengambil lebih tanggungjawab di atas tindakan mereka.

“Saya akan bangkitkan perkara ini di Parlimen dan mencadangkan penggunaan pengimejan satelit untuk mendedahkan kawasan-kawasan yang dilanda jerebu.

“Kita kemudian akan meminta syarikat-syarikat terbabit untuk mempertahankan diri mereka. Mereka perlu membuktikan bahawa mereka tidak terlibat,” katanya.

Orang awam juga sudah secara jelas menyokong perkenalan Akta baru khusus untuk menangani jerebu ini.

Walaupun akan ada pelbagai cabaran yang akan dihadapi untuk mengimplementasi undang-undang baru ini, namun ia pasti akan membuat gergasi-gergasi perladangan di Malaysia untuk berfikir dua kali sebelum melakukan pembakaran untuk pertanian.

Jika ditambah lagi dengan penggunaan teknologi satelit dan menjadikan datanya boleh diakses oleh orang awam, syarikat-syarikat berkenaan tidak boleh lagi ‘bersembunyi’.

Sumber: The Malaysian Reserve (TMR)

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button