Isu SemasaTempatan

Tabiat Buruk Dan Pelik, Mampukah Dia Berhenti Mencuri Setelah 20 Tahun Melakukannya?

Membaca sebuah rencana tentang seorang jurutera berusia 31 tahun yang memiliki pekerjaan yang hebat di sebuah syarikat terkemuka tetapi menyimpan tabiat buruk lama ini sangat membawa kepada persoalan betul atau tidak sangat sukar untuk seseorang mahu melepaskan tabiat buruk mereka sedangkan mereka tahu bahawa ianya tidak baik.

Ahmad yang merupakan seorang jurutera di sebuah syarikat terkemuka di Kuala Lumpur bercerita bahawa walaupun dia bekerjaya tetap dan dibayar dengan gaji bulanan yang agak lumayan, namun, lelaki kelahiran sebuah negeri di utara tanah air itu mempunyai tabiat yang pelik apabila dia suka mencuri.

Lebih pelik apabila lelaki yang mempunyai seorang cahaya mata ini mengakui hanya akan menyimpan hasil curian sebagai koleksi dan tidak digunakan.

Sehingga ke satu tahap, perbuatan kotornya itu diketahui oleh isteri dan menjadikan rumah tangga mereka kini panas selepas dia gagal mengotakan janjinya kepada isteri untuk menghentikan tabiat buruknya itu.

 

Mula Mencuri Sejak Kecil

Menurut Ahmad yang kini berusia 31 tahun, dia mula mencuri ketika berumur kira-kira 10 tahun.

“Saya berasal daripada sebuah keluarga yang susah. Ibu dan ayah hanya melakukan kerja-kerja kampung untuk menampung lima orang adik-beradik termasuk saya.

“Kehidupan kami diumpamakan seperti kais pagi makan pagi kasi petang minum petang. Tetapi, tidaklah sampai kebulur.

“Di sekolah pula, kami boleh dikategorikan sebagai daif apabila pakaian dan kasut yang dikenakan koyak-rabak dan terpaksa menahan lapar sehingga sesi persekolahan tamat,” jelasnya memulakan bicara.

Keadaan tersebut menyebabkan Ahmad sering tersisih. Apatah lagi apabila rakan-rakannya sering mencercanya dek kekurangan tersebut.

Bagaimanapun menurut Ahmad lagi, dia bernasib baik kerana mempunyai guru-guru yang sangat prihatin dan sering membelanya setiap kali diejek rakan sekelas.

“Setiap kali diejek miskin, guru tersebut akan membela saya. Mungkin kerana kasihan atau mungkin juga kerana saya merupakan salah seorang pelajar cemerlang sekolah tersebut.

 

Dihina Teruk Menyebabkan Dia Mendapat Idea Mencuri

“Biarpun dilindungi oleh para guru, namun itu tidak mampu meredakan rasa terhina saya dalam kalangan rakan-rakan.

“Entah bagaimana, saya mula mendapat idea untuk mencuri. Bermula dengan mencuri peralatan persekolahan rakan sekelas sewaktu rehat, saya kemudian mula berani menyusup masuk ke dalam bilik guru dan mencuri wang,” jelasnya.

Biarpun hampir setiap hari mencuri, namun cerita Ahmad lagi, kelakuannya itu langsung tidak disedari oleh sesiapa.

“Sedar mencuri merupakan satu kesalahan. Tetapi saya gembira apabila mampu membeli makanan di kantin sekolah seperti rakan-rakan lain.

 

Tabiat Berlanjutan

“Tabiat tersebut berlanjutan sehingga ke sekolah menengah. Berbekalkan wang mencuri itu juga, saya mampu membeli kasut baharu dan tidak lagi kelihatan terlalu miskin di mata rakan-rakan,” jelasnya kepada Kosmo.

Disebabkan berjaya mendapatkan keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, Ahmad ditawarkan biasiswa untuk melanjutkan pengajian dalam jurusan kejuruteraan di salah sebuah institut pengajian tinggi awam sekitar Lembah Klang.

“Gembira saya apabila mendapat khabar tersebut. Dengan biasiswa yang diberikan, saya bertekad untuk menghentikan kerja-kerja mencuri itu.

“Tetapi, azam yang dipasang sia-sia sahaja apabila saya masih lagi meneruskan aktiviti mencuri ketika memasuki semester kedua.

 

Mencuri Sudah Sebati Dalam Diri

“Bukan disebabkan wang biasiswa yang tidak cukup, tetapi saya rasakan perbuatan tersebut mencabar dan seronok. Ia sudah sebati dalam diri saya.

“Kadangkala, saya rasa gembira apabila wajah cemas rakan sekuliah apabila kehilangan barang mereka,” jelasnya lagi.

Menurut Ahmad lagi, barang-barang dan wang yang diambil tidak digunakan. Sebaliknya akan disimpan di dalam sebuah kotak dan akan dibuang setiap kali semester berakhir.

“Saya tidak tahu adakah ini satu penyakit atau ia sudah menjadi satu tabiat. Kadangkala jika tidak dapat mengambil barang besar, sebatang pen pun sudah cukup memuaskan hati saya.

 

20 Tahun Mencuri, Apakah Kesudahannya?

“Hampir 20 tahun mencuri, saya klasifikasikan diri sebagai pencuri profesional kerana tidak pernah tertangkap.

“Bagaimanapun, telahan tersebut meleset apabila ia diketahui isteri selepas dia melihat pelbagai barang wanita di dalam stor rumah kami,” jelasnya.

Menurut Ahmad, isterinya pernah lari pulang ke kampung bersama anak hampir seminggu kerana tidak dapat menerima hakikat tersebut.

“Saya kini sedang berusaha untuk tidak lagi mencuri. Tidak sangka perbuatan yang dahulunya dilakukan kerana ingin mengisi perut menyebabkan saya menjadi ketagih sehingga ke hari ini,” jelasnya menutup bicara.

Ketagihan dan perasaan gembira melihat individu kehilangan barang menyebabkan lelaki kelahiran sebuah negeri di utara tanah air mencuri.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button