Isu SemasaTempatan

Adakah Industri Minyak Sawit Jadi ‘Punca’ Jerebu?

Menteri Industri Utama, Teresa Kok baru-baru ini menyatakan bahawa adalah tidak adil untuk terus menyalahkan industri minyak sawit atas bencana jerebu, memandangkan banyak syarikat mematuhi piawaian pertanian yang mapan.

Beliau berkata, syarikat-syarikat minyak sawit mematuhi prinsip-prinsip yang ditetapkan oleh inisiatif-inisiatif yang bertujuan untuk mempromosikan pengeluaran minyak sawit lestari seperti Meja Bulat mengenai Minyak Sawit Lestari (RSPO) dan Skim Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO), yang melarang pembakaran terbuka.

“Tidak adil untuk orang awam terus menuding jari ke arah industri minyak sawit. Ia (punca jerebu) adalah pembakaran hutan dan sekarang ini adalah musim El Nino.

“Di banyak bahagian Borneo, Indonesia dan semenanjung Malaysia, banyak tumbuh-tumbuhan dan pokok ditanam di tanah gambut, yang boleh terbakar dengan mudah,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelas Kok, kebakaran itu juga mungkin berlaku disebabkan orang lain, termasuk petani dan penduduk kampung di kawasan berkenaan yang membersihkan tanah untuk menanam pelbagai tanaman.

Namun, perkara ini hanya boleh disahkan selepas Indonesia mengeluarkan hasil siasatannya ke atas fenomena jerebu yang menjejaskan kualiti udara, terutamanya di Malaysia, Indonesia dan Singapura.

“Kita perlu adil. Saya telah melihat banyak usaha oleh Indonesia untuk memadam kebakaran dan malah, Presiden Joko Widodo juga telah turun padang,” ujarnya.

Pada 17 September, Joko Widodo yang lebih mesra dikenali sebagai “Jokowi” telah mengarahkan agar tindakan keras diambil terhadap individu dan syarikat yang bertanggungjawab melakukan kebakaran hutan yang menjadi punca jerebu.

Beliau juga mengarahkan agensi pengurusan bencana negara untuk memperluaskan lagi hujan buatan dan mengerahkan lebih ramai anggota tentera dan bomba untuk menangani jerebu ini.

Dalam pada itu, Kok berkata bahawa beliau akan ke Indonesia pada bulan depan, dengan harapan menghimpunkan pemilik-pemilik ladang Malaysia dan Indonesia bagi membincangkan isu-isu berkaitan industri minyak sawit.

Sumber: The Star

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button