Isu SemasaTempatan

SOSMA Boleh Dikenakan Terhadap Sindiket Jual MyKad – KPN

Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) boleh digunakan terhadap individu-individu yang terlibat dalam sindiket pengeluaran dan penjualan sijil lahir dan kad pengenalan (MyKad) kepada warga asing.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador menyatakan bahawa tindakan yang paling keras akan diambil ke atas pegawai kerajaan, rakyat Malaysia, atau warga asing yang terlibat dalam kegiatan sedemikian memandangkan ia boleh memberi kesan serius terhadap keselamatan negara.

“Sindiket ini memberi kesan kepada keselamatan negara yang amat serius. Oleh itu, SOSMA boleh digunakan sekiranya mereka terlibat,” kata beliau kepada Bernama.

Difahamkan, hasil siasatan setakat ini mendapati bahawa motif sindiket dan individu-individu yang terlibat hanya untuk mencari keuntungan kewangan haram.

Jelas Abdul Hamid, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Imigresen turut membantu dalam usaha mengesan kes-kes lama.

Mengulas tentang pasukan petugas khas yang ditubuhkan pada bulan Ogos bagi menyiasat kes tersebut, beliau berkata bahawa pasukan yang melapor terus kepadanya itu diketuai oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, dan turut terdiri daripada wakil-wakil JSJ, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Cawangan Khas Bukit Aman, serta JPN dan Jabatan Imigresen.

Tambah Abdul Hamid, siasatan ke atas sindiket kes berkenaan telah mula dijalankan di Pulau Pinang pada Julai lalu oleh Ketua Polis Negeri, namun setelah dinilai tahap keseriusan kes, pasukan petugas khas ditubuhkan dengan persetujuan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Alwi Ibrahim.

Pada 19 Sept, polis telah menahan 20 individu termasuk seorang pegawai JPN di Pulau Pinang yang disyaki terlibat dengan aktiviti pengeluaran sijil kelahiran dan kad pengenalan secara tidak sah.

Individu-individu yang ditahan terdiri daripada 15 lelaki dan dua wanita tempatan, seorang lelaki dan  wanita warga China, serta seorang lelaki warga India.

Sumber: New Straits Times – Bernama

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button