AntarabangsaIsu Semasa

“Jika Serangan Dilancarkan Oleh Iran, Ia Adalah Satu Tindakan Perang” – Arab Saudi

Menteri Luar Arab Saudi, Adel al-Jubeir dalam satu kenyataan baru-baru ini menegaskan bahawa sekiranya siasatan menunjukkan serangan dron ke atas fasiliti minyak Aramco pada minggu lepas dilancarkan dari wilayah Iran, Riyadh akan menganggapnya sebagai tindakan perang.

Namun pada masa yang sama, beliau berkata bahawa Arab Saudi akan mencari penyelesaian secara aman.

“Kami menganggap Iran bertanggungjawab kerana peluru berpandu dan dron yang ditembak ke Arab Saudi…merupakan buatan Iran dan dihantar oleh Iran.

“Tetapi melancarkan serangan dari wilayah anda, sekiranya itu berlaku, meletakkan kita dalamm kategori yang lain…ini akan dianggap sebagai tindakan perang,” kata al-Jubeir kepada CNN.

Jelas al-Jubeir, Riyadh sebelum ini sedang menunggu keputusan siasatan yang turut disertai oleh penyiasat antarabangsa, bagi menyiasat serangan yang berlaku pada 14 September itu, yang merupakan serangan terbesar ke atas fasiliti minyak Arab Saudi.

Arab Saudi juga menolak dakwaan pemberontak Houthi yang mengakui bahawa ia melancarkan serangan tersebut.

Amerika Syarikat (AS) pula menuding jari ke arah Iran, namun Tehran menafikan sebarang penglibatan.

“Sekiranya mereka terus memilih haluan ini, mereka berisiko berdepan kemungkinan tindakan ketenteraan. Tetapi, tiada sesiapa yang mahu berperang.

“Semua orang mahu menyelesaikan hal ini secara aman keputusan akhir perlu menyaksikan pengakhiran dasar agresif Iran,” tegas al-Jubeir.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa Iran perlu tahu tindakan-tindakan mereka akan mendatangkan akibat.

Sumber: The Star – Reuters

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button