Isu SemasaTempatan

Pindaan Peruntukan: SPRM Akan Mempunyai Lebih Kuasa Perangi Rasuah

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan meminda beberapa peruntukan di dalam Akta SPRM 2009 dalam usaha menambah baik agensi tersebut dan memberinya lebih kuasa untuk memerangi gejala rasuah dengan lebih berkesan.

Menurut Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Shamsun Baharin Mohd Jamil, peruntukan dalam Seksyen 36 Akta SPRM 2009 merupakan antara pindaan yang akan dibentangkan di Parlimen selewat-lewatnya pada hujung tahun ini.

“Pindaan Seksyen 36 Akta SPRM itu bagi membolehkan siasatan dilakukan secara langsung terhadap individu yang dilihat hidup mewah melebihi pendapatannya. Ini kerana peruntukan akta sedia ada memerlukan kita siasat terlebih dulu individu itu berkaitan rasuah, baru kita boleh minta dia isytihar harta.

“Jika kita lihat ada individu hidup mewah melebihi pendapatannya tapi tiada siasatan (berkaitan rasuah), kita tidak boleh berbuat apa-apa.

“Kita mahu buat seperti di Hong Kong yang mana jika ada individu perbelanjaan hidupnya lebih daripada emolumen, ia sudah menjadi satu kesalahan dan dia perlu memberi penjelasan (mengenai sumber pendapatan lain),” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Bicara Minda yang dianjurkan oleh Sinar Harian pada Jumaat, 20 September 2019.

Dalam pada itu, peruntukan-peruntukan lain yang akan dipinda dalam peruntukan akta SPRM termasuk berkaitan pelantikan ketua pesuruhjaya dan juga panel-panel pemantau suruhanjaya berkenaan.

Shamsun Baharin berkata, SPRM kini mempunyai lima panel atau badan bebas untuk memantau suruhanjaya itu, di mana pelantikan tiga daripadanya adalah berdasarkan Akta SPRM sementara dua lagi dilantik oleh kerajaan.

“Ini yang kita mahu cuba sesuaikan supaya semua pelantikan (panel-panel) dimasukkan di bawah Akta SPRM. Pemantau ini penting bagi memberikan semak dan imbang terhadap suruhanjaya,” jelasnya.

Sementara itu, beliau menyatakan bahawa hanya 303 penjawat awam yang ditawarkan rasuah telah tampil menyalurkan maklumat dan diberi ganjaran keseluruhan bernilai RM560,000 sejak tahun 2011.

“Negara mempunyai 1.6 juta penjawat awam, tetapi yang tampil membuat aduan terlalu kecil.

“Kita bukan mahu semata-mata fokus (tangkap) penerima rasuah, tetapi juga pemberi rasuah yang sering membuat laporan kepada SPRM. Jadi, yang kena tahan pastilah penerima dan kebanyakannya melibatkan penjawat awam.

“Kita bukan mahu fokus kepada penjawat awam saja kerana SPRM ambil tindakan terhadap sesiapa saja yang buat laporan sama ada pemberi atau penerima. Disebabkan itu kita minta sesiapa yang ada ditawarkan rasuah, segera salurkan maklumat kepada kita,” tegas beliau.

Sumber: The Sun Daily – Bernama

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button