AntarabangsaIsu Semasa

Adakah Maldives Terperangkap Dalam Perangkap Hutang China?

Maldives tidak “terperangkap dalam perangkap hutang China.”

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Menteri Luar China, Wang Yi kepada rakan sejawatannya dari Maldives, Abdulla Shahid, di tengah-tengah kebimbangan negara di Lautan Hindi itu bahawa ia berhutang berbilion dolar kepada Beijing.

Parti pemerintah Maldivian Democratic Party, yang mencatatkan kemenangan besar dalam pilihan raya parlimen pada bulan April lalu, bimbang bahawa hutang yang ditanggung oleh Maldives kepada China mungkin bernilai sebanyak AS$3 bilion (RM12.5 bilion), sekali gus berisiko menenggelamkan ekonomi negara itu.

Namun ketika lawatan Shahid ke Beijing baru-baru ini, Wang berkata bahawa kerjasama China bersama Maldives tidak akan terjejas dengan pertukaran kerajaan, menurut Kementerian Luar China dalam satu kenyataan pada Jumaat.

“Kerjasama China dengan Maldives bertujuan untuk mempromosikan kesejahteraan rakyat Maldives, tanpa sebarang niat politik dan kepentingan geopolitik,” jelas kementerian itu memetik Wang sebagai berkata.

Tambah Wang, China menyediakan bantuan kepada Maldives tanpa membabitkan sebarang prasyarat politik, selain daripada tidak akan masuk campur dalam hal ehwal dalaman negara itu.

“Tiada asas untuk berkata bahawa Maldives terperangkap dalam perangkap hutang China,” tegasnya.

Sementara itu, Shaid dilaporkan berkata bahawa tiada sebuah negara pun di dunia ini yang bermurah hati seperti China untuk membantu Maldives – merujuk kepada pembinaan infrastruktur dan “peruntukan besar bantuan dan pinjaman lain” yang ditawarkan oleh China.

“Dalam hal ini, tidak wujud soal ‘perangkap hutang’. Bercakap begitu amat tidak masuk akal,” katanya.

China telah menerima kritikan global, terutamanya dari negara-negara Barat yang mendakwa bahawa ia memerangkap negara-negara membangun dan miskin dengan hutang yang mereka tidak akan mampu bayar.

Kuasa Barat turut menuduh China menggunakan ‘kelebihan’ yang ia miliki ke atas negara-negara tersebut untuk memperluaskan lagi pengaruh politiknya.

Membalas tuduhan itu, China menegaskan bahawa ia menyediakan bantuan tanpa sebarang prasyarat politik dan memberi dana kepada negara-negara yang “diabaikan” oleh Barat.

Sumber: Straits Times – Reuters

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button