Isu SemasaTempatan

Sudah Tiba Masa Untuk Tubuhkan Ombudsman Malaysia – Speaker Dewan Rakyat

Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Yusof dalam satu kenyataan baru-baru ini berkata bahawa sudah tiba masanya untuk menubuhkan Ombudsman Malaysia yang akan berperanan sebagai sebuah badan dalam mendengar dan menyiasat sebarang salah laku pentadbiran.

Menurut Mohamad Ariff, semua negara di dunia yang mengamalkan sistem demokrasi telah pun menerima peranan Ombudsman dan oleh itu, Malaysia juga memerlukan pembaharuan dalam sistem sedia ada.

“Saya tidak boleh memberi komen lebbih lanjut kerana perkara ini berkait dengan soal polisi. Namun, ia terpulang kepada badan eksekutif untuk memutuskan sama ada bersetuju dengan pembentukan Ombudsman ini,” katanya.

“Namun, sudah tentulah kalau hampir semua negara yang sudah matang boleh menerima peranan Ombudsman ini, saya kira masanya sudah tiba untuk ada di Parlimen Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama ketika program ‘Speaker’s Lecture Series’ di Bangunan Parlimen pada Khamis, 19 September 2019.

Program tersebut merupakan sesi perkongsian mengenai fungsi Ombudsman dalam sesebuah negara, dan ia disampaikan oleh Ketua Ombudsman New Zealand, Peter Boshier.

Melihat kepada New Zealand sebagai contoh, Mohamad Ariff menjelaskan bahawa Ombudsman di negara itu berperanan sebagai penyiasat dan penyelidik Parlimen yang memiliki kuasa untuk mendengar sebarang masalah berkaitan salah laku dalam pentadbiran.

“Ombudsman ini ialah seorang pegawai Parlimen. Mungkin konsepnya boleh diubah (sesuaikan) mengikut landskap sesebuah negara dan jika akan diwujudkan, sudah tentulah Rang Undang-Undang (RUU) akan dibentang dan dibahas di Parlimen terlebih dahulu, apabila diluluskan barulah ia diimplementasikan,” ujar beliau.

Sementara itu, Boshier ketika sesi syarahannya berkata bahawa ia adalah satu penghormatan sekiranya beliau diberi peluang untuk memperluaskan lagi hubungan Malaysia-New Zealand dengan idea pejabat Ombudsman.

“Saya teruja Malaysia melihat untuk melaksanakan Ombudsman. Dalam semua kes, peranan utamanya adalah melindungi orang daripada pencabulan hak, penyalahgunaan kuasa, dan salah laku pentadbiran,” tambah beliau.

Sumber: The Star – Bernama

Show More

Related Articles

Back to top button