Isu SemasaTempatan

Perlukah Kita Meniru Singapura Untuk Menghukum Syarikat Malaysia Di Luar Negara Yang Menyebabkan Jerebu?

Setiap tahun pasti akan ada sahaja masalah jerebu menjelma di ruang udara Malaysia.

Tapi tahun ini kelihatan lebih teruk lagi mungkin ditambah dengan beberapa hutan di negara kita yang turut terbakar.

Ia membabitkan seluas 98 hektar hutan di Kampung Pekajang di Iskandar Puteri, Johor Bahru serta sejumlah 1,248 hektar hutan di hutan paya gambut utara Sarawak terbakar.

Pihak bomba sedang membakar kebakaran di Johor Bahru. Sumber Imej: SinarHarian

Undang-Undang Malaysia Baharu Untuk Mendakwa Syarikat Malaysia Di Luar Negara

Kelmarin kerajaan Malaysia telah mengemukakan cadangan undang-undang untuk mendakwa syarikat Malaysia yang terlibat dalam pembakaran hutan di luar negara.

Menurut HMetro, kerajaan akan menggubal undang-undang supaya tindakan serius boleh diambil terhadap syarikat Malaysia yang menyebabkan kebakaran hutan di luar negara sekali gus menyumbang kepada jerebu.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, langkah itu bagi memastikan syarikat berkenaan mempunyai tanggungjawab terhadap perbuatan yang dilakukan.

“Kita minta mereka mengambil tindakan memadam kebakaran dan sekiranya mereka enggan berbuat demikian, kerajaan akan menggubal undang-undang untuk menjadikan syarikat berkenaan bertanggungjawab terhadap kebakaran di hartanah mereka walaupun di luar negara,” katanya ketika sidang media selepas melancarkan Kerangka Dasar Luar Negara Malaysia Baharu di Putrajaya pada hari Rabu yang lalu.

 

Patut Mengambil Contoh Undang-Undang Singapura

Bagi peguam, Lim Wei Jiet kita boleh mengambil contoh undang-undang Singapura yang menghukum firma yang didapati bersalah untuk menyebabkan kemusnahan alam sekiar yang dasyat di luar negara.

“Berdasarkan Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan 2014, ia telah menggariskan bahawa liabiliti sivil serta situasi di mana syarikat yang terlibat boleh disaman kerana menyumbang jerebu yang mengakibatkan kerugian, penyakit serta kematian di Singapura,”kata Lim kepada The Malaysian Reserve.

Akta ini menjatuhkan hukuman kriminal ke atas pesalah yang menyumbang jerebu ke Singapura dengan pampasan ganti rugi (saman) sehingga S$100,000 (RM304,099) untuk setiap hari berlakunya jerebu jika didapati bersalah.

Jumlah saman ini boleh dikenakan sehingga maksimum S$2juta.

Undang-undang seperti berkemungkinan besar juga bakal dilakukan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad setelah mengetahui kebakaran hutan yang terjadi di Sumatera melibatkan empat anak syarikat milik Malaysia iaitu Kuala Lumpur Kepong Bhd (KLK), Sime Darby Plantation Bhd, IOI Corp Bhd dan TDM Bhd.

 

Mengapa Ada Pihak Yang Tidak Bersetuju?

Walau bagaimanapun, undang-undang seperti ini dikatakan bertindih dengan apa yang sudah termaktub di dalam perbincangan Meja Bulat tentang Kelestarian Minyak Sawit (RSPO).

M.R. Chandran, Penasihat RSPO. Sumber Imej: TheEdge

Perkara ini dibangkitkan oleh M.R. Chandran yang merupakan penasihat RSPO yang menyatakan terdapat undang-undang yang cukup di peringkat nasional dan di bawah standard persijilan yang ada, ia sudah boleh menghukum orang disebalik kebakaran hutan di Indonesia.

“Saya tidak melihat mengapa kerajaan Malaysia perlu mengambil langkah undang-undang ke atas syarikat di luar negara kerana syarikat ini sudah pun beroperasi di bawah undang-undang Indonesia. Ia akan menjadi hukuman berganda,” kata Chandran.

Pihak RSPO telah memastikan pencegahan dan pengurusan kebakaran yang sangat ketat manakala Malaysia juga memiliki polisi pembakaran sifar di bawah Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 yang mana pesalah boleh dihukum denda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjara tidak melebihi lima tahun.

Menurut Chandran lagi, RSPO juga aktif dalam mengawasi titik-titik panas menggunakan teknologi satelit dan juga telah memproses tindakan ke atas ahli yang terlibat termasuk membatalkan keahlian mereka.

Menerusi data laman web RSPO sehingga 10 September kelmarin, sejumlah 244 titik panas daripada 48,422 titik panas telah didapati merentas Malaysia dan Indonesia dan ia melibatkan keahlian konsesi RSPO.

 

Pelucutan Keahlian RSPO Boleh Jejaskan Pendapatan Syarikat?

“Saya percaya RSPO telah meminta pihak ahli yang terlibat memberi penjelasan mengapa perkara ini terjadi. Jika terdapat aduan yang difailkan terhadap mereka, RSPO akan membuat pemeriksaan dan memohon surat tunjuk sebab. Jika terbukti mereka telah melanggar undang-undang, RSPO akan mengambil tindakan dengan menggantungkan sijil mereka.

Ini bermakna mereka juga tidak boleh melakukan perdagangan produk kelapa sawit termasuklah minyak krud atau pun olein di bawah RSPO. Dengan ini mereka tidak akan mendapatkan kelebihan premium dan hanya boleh memperdagangkannya seperti minyak biasa,” jelas Chandran.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button