Kemboja merancang untuk mengehadkan yuran pengambilan bekerja tinggi yang dikenakan oleh broker-broker buruh ke atas individu-individu yang mencari pekerjaan di luar negara dalam usaha membendung migrasi haram dan melindungi pekerja daripada menjadi mangsa penghambaan moden.
Berdasarkan anggaran, terdapat lebih daripada dua juta rakyat Kemboja yang sedang menetap dan bekerja di luar negara, dan kebanyakannya adalah di Thailand.
Menurut aktivis, ratusan ribu pekerja asing tidak memperoleh dokumen bekerja yang sah berikutan kos yuran yang terlalu tinggi, sekali gus menyebabkan mereka terdedah dengan pencabulan hak.
Rakyat Kemboja yang berpindah ke Thailand menerusi saluran-saluran rasmi membayar agensi pengrekrut sebanyak kira-kira AS$650 (RM2,717), manakala mereka yang pergi merentasi sempadan dengan sendiri pula hanya membelanjakan sekitar AS$30 (RM125), kata kumpulan advokasi, Mekong Migration Network.
Walau bagaimanapun, kerajaan Kemboja juga sedang memuktamadkan rancangan mengikut jejak langkah Myanmar, di mana agensi-agensi pengrekrut tidak dibenarkan untuk mengenakan bayaran bernilai lebih daripada AS$100 (RM418), ke atas individu yang mencari kerja di luar negara.
“Fasa pertama adalah mengehadkan yuran yang dikenakan oleh agensi pengrekrut. Tetapi matlamat utama kami adalah sifar yuran, di mana pihak majikan dan agensi pengrekrut yang akan menanggung kos itu,” kata Horn Usaphea, seorang pegawai di Kementerian Luar Kemboja.
Sementara itu, Jackie Pollock, seorang penasihat di Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, langkah mengehadkan jumlah yuran yang dibayar ini dijangka akan membolehkan lebih ramai pekerja bermigrasi secara sah, dan memastikan mereka dilindungi oleh undang-undang serta layak menerima manfaat keselamatan sosial.
Difahamkan, terdapat kira-kira tiga juta pekerja asing di Thailand, namun Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (IOM) menganggarkan bahawa terdapat sekurang-kurangnya dua juta lagi yang bekerja secara haram di seluruh negara itu.
Aktivis berkata, pekerja asing yang tidak mempunyai dokumen sah bukan sahaja tidak layak mendapat manfaat-manfaat yang sewajarnya, malah juga berisiko dieksploitasi atau diperhambakan.
“Dalam industri perikanan, sebagai contoh, pekerja yang tidak mempunyai dokumen sah boleh dijual dari sebuah bot ke bot yang lain.
“Tiada sesiapa yang akan tahu, dan tiada sesiapa yang akan bertanggungjawab,” ujar Sa Saroeun dari Raks Thai Foundation.
Sumber: The Star – Reuters