Isu SemasaTempatan

Malaysia Akan Bina Dua Institusi Aeroangkasa Dalam Dekad Akan Datang

Malaysia akan membina sekurang-kurangnya dua institusi aeroangkasa dan penerbangan bagi dekad yang akan datang memandangkan kerajaan sedang berusaha untuk mengisi kekosongan bakat dalam sektor yang berkembang dengan pesat itu.

Rancangan untuk membina institusi-institusi pengajian khusus ini merupakan sebahagian daripada Pelan Tindakan Industri Aeroangkasa Malaysia (MAIB) 2030, yang mula didedahkan empat tahun lalu.

Pelan tersebut menggariskan visi Malaysia untuk menjadi peneraju industri aeroangkasa dalam rantau ini.

Sektor ini dijangka akan mewujudkan sehingga 32,000 pekerjaan berpendapatan tinggi dalam tempoh 11 tahun yang akan datang.

Menurut sumber, salah satu institut pengajian tinggi itu akan dibina di Selangor, memandangkan 65% daripada 230 syarikat aeroangkasa di Malaysia berpangkalan di negeri berkenaan.

“Kerajaan negeri akan melabur dalam salah sebuah politeknik itu di Selangor untuk menaik taraf program-program dan fasiliti berkaitan aeroangkasa.

“Politeknik itu juga perlu dinamakan semula kepada Selangor International Aviation atau Aerospace Polytechnic,”

“Ia masih lagi dalam peringkat perundingan di antara kerajaan negeri dan Kementerian Pendidikan (MoE), memandangkan politeknik berada di bawah bidang kuasa MoE,” kata sumber kepada The Malaysian Reserve (TMR) baru-baru ini.

Sementara itu, isu kekurangan bakat dalam sektor ini telah diketengahkan dalam pelbagai platform aeroangkasa sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Syarikat perunding perniagaan, Frost & Sullivan telah mencadangkan agar Selangor membina sebuah bandar dron dalam usaha menjadikan kursus-kursus aeroangkasa menjadi lebih menarik bagi generasi muda.

Selasa lepas, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari menyatakan bahawa negeri itu sasar untuk meningkatkan saham pasarannya dalam industri aeroangkasa daripada 62% pada tahun lepas kepada 70% pada Disember ini.

Jelas beliau, perkara ini penting untuk negeri itu membuat pelaburan dalam pembangunan modal insan bagi menampung ekosistem aeroangkasa secara menyeluruh.

Difahamkan, industri aeroangkasa dijangka akan menjana hasil pendapatan sebanyak RM55.2 bilion menjelang tahun 2030.

Buat masa ini, industri tersebut mempunyai 23,000 pekerja berkemahiran tinggi, iaitu kurang 11,000 berbanding apa yang telah digariskan dalam objektif MAIB 2030.

Dalam pada itu, Selangor sudah mempunyai tiga politeknik di Shah Alam, Banting, dan Sabak Bernam.

Sumber: The Malaysian Reserve (TMR)

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button