AntarabangsaIsu Semasa

Indonesia: Usia Minimum Perkahwinan Bagi Perempuan Ditingkatkan Kepada 19 Tahun

Parlimen Indonesia pada awal minggu ini telah melakukan semakan semula undang-undang perkahwinan di negara itu untuk meningkatkan usia minimum berkahwin kepada 19 tahun bagi perempuan.

Langkah yang bertujuan untuk membendung perkahwinan bawah umur dalam kalangan kanak-kanak di Indonesia ini telah disambut baik oleh pelbagai pihak, terutamanya kumpulan aktivis.

Menurut badan bukan kerajaan (NGO) Girls Not Brides, iaitu sebuah badan yang komited dalam menamatkan perkahwinan kanak-kanak bawah umur, Indonesia merupakan salah sebuah daripada 10 negara di dunia yang mencatatkan jumlah pengantin kanak-kanak perempuan yang tertinggi.

Berdasarkan laporan Agensi Statistik Indonesia dan Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) pada tahun 2016, satu daripada empat perempuan di Indonesia berkahwin sebelum mencapai usia 18 tahun.

“Masyarakat (Indonesia) masih menggalakkan perempuan untuk berkahwin ketika usia remaja, jika tidak mereka akan dianggap sebagai anak dara tua,” kata Masruchah dari Suruhanjaya Kebangsaan Keganasan Terhadap Wanita.

Masruchah berkata, suruhanjaya itu lebih bersetuju jika had usia minimum perkahwinan bagi kedua-dua lelaki dan perempuan ditetapkan pada umur 21 tahun, apabila mereka dianggap matang dari segi reproduksi dan kestabilan ekonomi.

Sebelum ini, usia minimum perkahwinan bagi perempuan adalah 16 tahun. Namun, gadis yang lebih muda daripada 16 tahun juga dibenarkan untuk berkahwin sekiranya mendapat kebenaran daripada ibu bapa mereka.

Selain daripada itu, Menteri Pemberdayaan Perempuan dan Perlindungan Kanak-Kanak Indonesia, Yohana Yembise menyatakan bahawa perkahwinan kanak-kanak di negara itu telah dikatakan menjadi antara penyebab kematian ibu dan bayi, dan turut menggalakkan buruh kanak-kanak.

“Akhirnya, selepas 45 tahun (undang-undang perkahwinan sedia ada). Ini adalah hadiah kepada kanak-kanak Indonesia,” katanya.

Perubahan kepada undang-undang yang sedia ada ini dijangka akan dikuatkuasakan dalam masa tiga tahun lagi.

Sumber: Straits Times – Reuters

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button