MalaysiaPolitik

Anwar Yakin Bakal Gantikan Dr Mahathir Tahun Hadapan

Presiden PKR dan Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bakal menjadi perdana menteri negara yang kelapan, berkata beliau berkemungkinan mengambil alih kuasa sekitar Mei 2020.

Memetik laporan agensi berita antarabangsa Bloomberg, Anwar berkata, terdapat satu perjanjian pengambilalihan jawatan Perdana Menteri dibuat sebelum ini.

Anwar mendakwa, menerusi perjanjian itu, Dr Mahathir yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) akan meletak jawatan pada waktu bersesuaian.

Bagaimanapun, Anwar berkata, beliau tidak terlalu memikirkan tarikh khusus berhubung pengambilalihan jawatan tersebut.

‚ÄúSama ada proses pengambilalihan jawatan Perdana Menteri akan berlaku dua tahun selepas Dr Mahathir memegangnya, sudah terdapat perjanjian menyatakan beliau (Dr Mahathir) akan meletak jawatan pada waktu bersesuaian,” katanya dalam satu temuramah bersama Bloomberg.

Anwar, 72, menolak laporan bahawa timbalannya, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Azmin Ali atau Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, anak lelaki Perdana Menteri akan dipertimbangkan untuk mengambil jawatannya.

“Tidak ada tanda dari mana-mana pihak yang memperkenalkan atau mempromosikan atau melobi untuk nama-nama lain.

“Keadaan ini tidak menghalang individu-individu tertentu yang bercita-cita besar untuk mencuba dengan pelbagai kaedah.

“Bagi saya, kaedah sebegini adalah tidak relevan. Sama ada kaedah itu sudah dibincangkan atau diberi pengesahan, jawapan saya adalah tidak boleh,” katanya.

Persoalan berkaitan bilakah Anwar akan mengambil alih kuasa telah menjadi isu politik Malaysia sejak Dr Mahathir yang mengetuai Pakatan Harapan memenangi pilihan raya umum tahun lepas.

Dr Mahathir telah berulang kali berjanji untuk menyerahkan kuasa kepada Anwar, tanpa menetapkan garis masa.

Dr Mahathir berkata beliau akan meletak jawatan sebaik sahaja mendapati keadaan negara stabil, yang mungkin mengambil masa dua atau tiga tahun.

Konflik antara Anwar dan Azmin, termasuk penyebaran sebuah video seks, telah menimbulkan kemungkinan bahawa Perdana Menteri berusia 94 tahun itu akan memanjangkan tempoh kekuasaannya apabila gabungan pemerintah berdepan perbezaan pendapat dalaman.

Terdahulu, Dr Mahathir mengesahkan bahawa beliau tidak akan merombak Kabinetnya dalam tempoh masanya sebagai PM walaupun terdapat persepsi orang ramai tentang prestasi yang kurang baik di kalangan menteri-menteri beliau.

Dr Mahathir berkata semasa wawancara radio bahawa beliau tidak mahu memberi tekanan kepada penggantinya dengan merombak Kabinet sekarang, sekaligus menunjukkan bahawa beliau bersedia untuk peralihan kuasa.

Pakatan Harapan terus meletakkan Anwar sebagai perdana menteri kelapan selepas Dr Mahathir. Pada dasarnya, peralihan kuasa akan berlaku dalam tempoh dua tahun selepas pilihan raya umum ke-14, tetapi tidak ada garis masa yang telah dipersetujui secara rasmi.

Walau bagaimanapun, kedua-dua Dr Mahathir dan Anwar telah berulang kali mengulangi kepercayaan mereka bahawa peralihan akan berlaku apabila mereka bersedia.

Anwar pernah menjadi timbalan kepada Dr Mahathir yang menjadi perdana menteri keempat tetapi dipecat pada tahun 1998.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button