Isu SemasaTempatan

Kenaikan Harga Minyak Mentah Akan Menguntungkan Malaysia?

Malaysia merupakan salah sebuah negara Asia yang dikatakan akan memperoleh manfaat daripada lonjakan harga minyak mentah susulan serangan dron ke atas loji pemprosesan minyak Arab Saudi pada hujung minggu baru-baru ini sehingga menjejaskan lebih daripada lima peratus bekalan global, menurut penganalisis.

Niaga hadapan minyak mentah Brent melonjak naik sebanyak 18% pada Isnin selepas loji tersebut diserang. Difahamkan, pemberontak Houthi di Yaman mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan itu.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, harga minyak yang lebih tinggi memberi kelebihan kepada kerajaan.

Namun, kerajaan perlu menentukan sama ada ingin menggunakan kelebihan ini untuk melakukan pelaburan jangka masa panjang seperti perbelanjaan pembangunan atau penyelesaian jangka masa pendek seperti memberi subsidi atau pemindahan wang tunai.

“Kita tidak pasti sama ada harga minyak semasa boleh bertahan atau tidak, ujarnya.

Menurut Agensi Tenaga Antarabangsa, pengeluaran minyak lebih tinggi dari negara-negara yang bukan dalam kalangan OPEC (Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum) akan terus mendatangkan cabaran kepada industri ini pada tahun 2020.

“Justeru, kita tidak pasti sama ada kenaikan harga minyak semasa ini boleh kekal atau tidak,” katanya kepada Bernama.

Pada Isnin, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menyatakan bahawa hasil pendapatan Petroliam Nasional Bhd dan subsidi minyak kerajaan akan meningkat susulan kenaikan harga minyak mentah akibat serangan loji minyak di Arab Saudi itu.

Jelas Lim, had harga minyak petrol RON95 akan kekal pada RM2.08 seliter buat masa ini, sambil menambah bahawa subsidi minyak negara akan memerlukan penilaian yang teratur dan terperinci untuk jangka masa panjang.

Sementara itu, Stephen Innes, pakar strategi pasaran Asia Pasifik di AxiTrader, baru-baru ini berkata bahawa mengikut sejarah, kenaikan harga minyak yang didorong oleh permintaan secara umumnya mendatangkan kesan positif bagi ekuiti-ekuiti di Asia Pasifik.

Namun sebaliknya, kenaikan harga minyak yang disebabkan oleh kekurangan bekalan pada kebiasaannya kurang diterima, tambah beliau.

Innes memberi contoh bahawa sensitiviti pelaburan yang paling menguntungkan adalah Malaysia memandangkan negara ini merupakan pengeksport bersih minyak dan gas yang konsisten serta merekodkan lebihan dagangan sebanyak 2.7% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun lepas.

“Harga mungkin akan kekal tinggi sepanjang pembaikan tetapi tidak mungkin ia pergi lebih jauh daripada paras tertinggi Mei disebabkan Arab Saudi akan menggunakan rizab dan seterusnya, menstabilkan harga. Malahan, terdapat banyak rizab lain di seluruh dunia.

“Tetapi Bajet Malaysia 2019 dibuat berdasarkan kepada harga minyak pada paras AS$70 setong, jadi kenaikan harga ini merupakan rangsangan kepada poket kerajaan,” kata beliau kepada Bernama.

Beliau turut menjelaskan bahawa apa yang dipanggil sebagai premium risiko perang dan bekalan mampu mengekalkan lonjakan harga, walaupun selepas pengeluaran dipulihkan.

Sementara itu, menurut RHB Research, hasil yang berkaitan dengan minyak, yang dianggarkan menyumbang sebanyak 30.9% kepada jumlah perolehan kerajaan pada tahun ini, dijangka akan menurun disebabkan ketiadaan dividen khas Petronas yang berjumlah RM30 bilion dan harga minyak mentah yang lebih rendah.

“Kami percaya anggaran harga minyak yang lebih konservatif di bawah AS$60 setong mungkin akan diterima pakai oleh kerajaan bagi Bajet 2020 berbanding nilai AS$70 setong seperti yang diunjurkan pada 2019.

“Ini terjadi dalam keadaan geopolitik yang sedia memuncak sehingga menyebabkan gangguan bekalan global yang seterusnya, meningkatkan harga minyak mentah dalam tempoh terdekat,” katanya dalam satu nota penyelidikan yang bertajuk ‘Tinjauan Bajet 2020 : Berkongsi Kemakmuran, Perbelanjaan Fiskal Yang Lebih Tinggi Dalam Tempoh Yang Mencabar’.

Buat masa ini, RHB Research meramalkan premium pada AS$3-AS$10 setong untuk ditambah kepada harga minyak mentah dalam tempoh terdekat, tetapi mengekalkan unjuran harga minyak mentah sebanyak AS$66 setong pada tahun depan.

Mengikut anggaran, setiap kenaikan AS$1 dalam harga minyak mentah akan menambah RM300 juta kepada poket kerajaan.

Sumber: Malay Mail – Bernama

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button