Isu SemasaTempatan

Kadar Perceraian Di Negeri Selangor Adalah Paling Tinggi Dengan Alasan Yang Tidak Berat & Lucu

Kadar perceraian di negeri Selangor bagi pasangan Islam sangat membimbangkan apabila negeri ini mencatatkan antara jumlah perceraian tertinggi di Malaysia.

Menurut Menteri Besar Amirudin Shari, terdapat 24,063 permohonan perceraian telah dicatatkan pada tahun 2017-2018 di mana kebanyakan daripada pemfailan permohonan tersebut datangnya daripada pasangan muda.

Ditanya mengapa kadar perceraian tersebut meningkat, Amirudin berkata alasan yang diberikan sebenarnya tidaklah begitu berat dan adakalanya terdengar lucu.

Walau bagaimanapun, tidak dinafikan bahawa sebab utama mereka bercerai ialah kerana terdapat tekanan dan juga campur tangan pihak ketiga.

Sehubungan dengan itu, Menteri Besar Selangor telah melancarkan program dana bantuan untuk ibu tunggal dan juga sebuah aplikasi e-rujukan yang boleh membantu untuk mendapat informasi tentang perkahwinan.

“Untuk mendapatkan bantuan kewangan, isteri yang diceraikan itu perlu memfailkan kes terhadap mantan suami di Mahkamah Syariah supaya pendakwaan serta penguatkuasaan untuk mendapatkan hak terbela,” jelas Amirudin.

Melalui bantuan kerajaan negeri, pembayaran sekali sahaja akan diberikan bergantung kepada anak yang dikurniakan – ibu bersama seorang anak akan menerima RM200, bagi yang memiliki dua hingga tiga orang anak, mereka akan menerima RM300, RM400 bagi empat hingga lima anak dan RM500 bagi enam anak ke atas.

Bagi Amirudin, kursus kahwin yang diikuti sebelum sesebuah pasangan mendirikan rumah tangga tidak banyak bercerita tentang kehidupan setelah berumah tangga.

“Kursus tersebut buat masa ini hanya berkisar tentang perkara yang membawa ke jinjang pelamin dan bukan terlalu mendalam tentang kehidupan setelah menikah termasuk juga cabaran di awal perkahwinan yang sering pasangan alami,” jelas Amirudin.

Menurut Amirudin lagi, kerajaan negeri akan membantu memasukkan beberapa modul yang dikirakan mampu membantu memantapkan lagi program kaunseling sebelum berumah tangga di negeri tersebut.

“Jika kita memberi mereka latihan yang baik, ia sedikit sebanyak dapat membantu. Kami memiliki pengisian tersebut dan kami akan menggabugkannya dengan bahagian yang bersesuaian,” kata Amirudin semasa majlis pelancaran seminar Memahami Undang-undang Syariah.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button