AntarabangsaIsu Semasa

India Terus ‘Cari Pasal’ Dengan Pakistan Berhubung Isu Kashmir

Menteri Hal Ehwal Luar India, Subrahmanyam Jaishankar pada Selasa telah mengeluarkan kenyataan berkontroversi, dengan berkata bahawa bahagian Kashmir yang dikawal oleh Pakistan adalah milik India.

Bukan itu sahaja, malah beliau juga menjangkakan bahawa India akan memperoleh kawalan secara fizikal ke atas bahagian wilayah yang dikawal oleh Pakistan itu satu hari nanti.

Difahamkan, lembah Kashmir berada di bawah pemerintahan India sementara Pakistan pula mengawal wilayah di bahagian barat Kashmir yang disifatkan oleh New Delhi sebagai “Pakistan-occupied Kashmir” (PoK).

“Pendirian kami terhadap PoK adalah, telah, dan akan sentiasa menjadi amat jelas. PoK merupakan sebahagian daripada India dan kami menjangkakan bahawa satu hari nanti, kami akan mempunyai kuasa, kuasa fizikal ke atasnya,” kata Jaishankar.

Namun pada Rabu, Pakistan mengecam kenyataan berkontroversi kerajaan India yang disifatkan sebagai “retorik patriotisme yang melampau”.

“Kami secara keras mengutuk dan menolak kenyataan yang tidak bertanggungjawab dan berbaur hasutan yang dikeluarkan oleh Menteri Hal Ehwal Luar India.

“Kenyataan tidak bertanggungjawab dan bermusuhan itu berpotensi untuk meningkatkan lagi ketegangan dan akan menjejaskan keamanan dan keselamatan di rantau ini,” tegas Kementerian Luar Pakistan dalam satu kenyataan.

Ketegangan di antara kedua-dua kuasa nuklear itu semakin meningkat apabila India menerusi satu dekri presiden pada bulan lepas telah memansuhkan Artikel 370, iaitu status autonomi khas yang diberi kepada Kashmir sejak kira-kira 70 tahun dahulu.

Difahamkan, peruntukan tersebut memberi status istimewa dan mengizinkan Kashmir, kecuali berkenaan hal ehwal pertahanan dan hubungan antarabangsa, untuk mewujudkan undang-undang, perlembagaan, memiliki bendera, serta pentadbiran sendiri.

Wilayah majoriti Islam itu dilaporkan mempunyai lebih daripada 7 juta penduduk.

Memansuhkan status khas Kashmir, menarik hak keistimewaan pemilikan tanah dan pekerjaan yang sudah terjamin dalam perlembagaan bagi penduduk di sana, dilihat sebagai usaha terbesar Perdana Menteri India, Narendra Modi dalam merealisasikan agenda nasionalis Hindunya selepas menang besar dalam pilihan raya umum pada bulan Mei.

Sumber: Reuters, AFP

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button