AntarabangsaIsu Semasa

Yuan Merosot, Industri Pelancongan Asia Tenggara Lumpuh

Gangguan ekonomi di China dan kelemahan nilai yuan mempengaruhi kemerosotan industri pelancongan di Asia Tenggara dengan pantai-pantai di Bali mula sunyi dan bilik-bilik hotel juga kosong di Hanoi.

Ledakan trend pelancongan dari China yang melonjakkan industri pelancongan di seluruh Asia Tenggara pada tahun-tahun kebelakangan, kini berada di ambang berbahaya. Kemerosotan pelancong Tionghoa menjadi realiti yang menyakitkan bagi negara-negara seperti Thailand dan Indonesia yang terlalu bergantung kepada China.

“Kemerosotan ketibaan pelancong dari China dirasakan di seluruh rantau ini,” kata Encik Kampon Adireksombat, ketua penyelidikan pasaran ekonomi dan kewangan di Bangkok di Siam Commercial Bank.

“Selalunya terdapat risiko yang tinggi apabila terlalu bergantung kepada satu pasaran dan banyak negara mungkin tidak dapat mencari pengganti untuk pertumbuhan dengan cepat. Kemerosotan itu dijangka berterusan tahun depan jika perang perdagangan terus menggugat ekonomi China,” katanya.

Peningkatan pendapatan sejak sedekad yang lalu menyebabkan penduduk China dari kelas menengah mampu untuk melancong, menjadikannya pasaran perjalanan luar negara terbesar di dunia, menurut laporan McKinsey. Jumlah perjalanan keluar lebih daripada dua kali ganda daripada 57 juta perjalanan pada tahun 2010 kepada 131 juta perjalanan pada tahun 2017.

“Asia Tenggara biasanya merupakan destinasi pertama bagi pelancong China apabila mereka memilih destinasi lebih jauh,” kata laporan itu. Kajian Pelancongan Luar Negara China 2017, McKinsey menunjukkan bahawa bilangan perjalanan pakej tertinggi telah ditempah ke Asia Tenggara.

Pelancongan berbahasa Mandarin, restoran Cina dan perkhidmatan pembayaran mudah alih China, berkembang dari Danang di Vietnam ke Yogyakarta di Indonesia, kerana para pelancong ini menggemari tempat-tempat panas Asia Tenggara.

Bagaimanapun, kemerosotan ketibaan pelacong China kini mengancam industri pelancongan dengan lebihan kapasiti selepas syarikat dan kerajaan tempatan meningkatkan dua kali ganda dan membelanjakan berjuta-juta dolar ke pusat peranginan, hotel dan kemudahan perjalanan.

Kemerosotan ini telah menjejaskan beberapa pengendali hotel. Perniagaan Central Plaza Hotel di Thailand menurun pada suku kedua tahun ini berikutan penurunan permintaan pelancong China, kata Ronnachit Mahattanapruet, naib presiden kanan syarikat.

Di Pulau Phuket, akan terdapat 18 peratus lebih banyak bilik hotel menjelang 2024, menurut perundingan C9 Hotelworks. Ketibaan antarabangsa di Thailand tahun ini telah berkembang hanya 2 peratus. “Bekalan itu didasarkan pada jangkaan yang tidak realistik rakyat,” kata pengarah urusan C9, Bill Barnett.

Di Singapura, pengendali kasino Las Vegas Sands dan Genting Singapura mengumumkan pengembangan resort bernilai AS$ 9 bilion pada awal tahun ini selepas pemandangan negara itu dipancarkan di seluruh dunia menerusi filem Crazy Rich Asia.

Marriott International mempunyai 140 hotel di seluruh rantau ini dan mereka merancang untuk menggandakan portfolionya menjelang 2023 di Filipina, lapor The Straits Times.

Pelancong China menjadi kumpulan pelawat terbesar di rantau ini dan menambah AS$ 403.7 bilion kepada keluaran dalam negara kasar pada tahun 2019. Di Thailand dan Filipina, pelancongan berkembang menjadi lebih kurang seperlima daripada KDNK mereka iaitu dua kali ganda purata global.

Ledakan itu merosot pada separuh pertama tahun ini apabila ekonomi China perlahan dan nilai yuan melemah ke tahap yang rendah dalam sejarah dan perang perdagangan AS-China yang berterusan telah menjatuhkan keyakinan pengguna.

Kelembapan dalam pelancongan melemahkan satu lagi tiang pertumbuhan untuk Asia Tenggara ketika pasaran eksport juga terjejas dari perang perdagangan. Negara-negara kini berusaha untuk mempelbagaikan usaha jangkauan mereka untuk menarik pelawat dari negara lain.

Tetapi dalam jangka pendek hingga sederhana, kesan yang ditinggalkan oleh pelancong China kelihatan terlalu besar untuk dipulihkan.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button