Gaya HidupKesihatan

Tahukah Anda Istilah Tepat Bagi Penyakit Perut Berangin Ialah ‘Gastritis’ Bukan ‘Gastrik’?

Di dalam istilah perubatan, gastrik merujuk kepada perut dan disebabkan istilah gastrik digunakan secara meluas di Malaysia, pakar perubatan dan doktor juga turut menggunakan istilah yang sama bagi memudahkan pemahaman pesakit dan untuk mengelakkan timbul sebarang kekeliruan yang tidak diingini.

Masalah gastrik angin atau gastritis ini mungkin dianggap sebagai satu masalah kesihatan biasa yang kerap dialami oleh ramai individu. Walau bagaimanapun, anda tidak seharusnya menganggap masalah kesihatan ini sebagai satu masalah yang remeh.

Ini kerana jika masalah gastrik dibiarkan berlanjutan tanpa mendapatkan rawatan yang sewajarnya, terdapat kecenderungan untuk risiko berlaku pembentukan ulser di dalam perut. Sekiranya keadaan ini terjadi, rawatan perlu diberikan kerana ulser ini boleh berdarah dan membawa kepada penyakit lain seperti anemia (kurang darah merah).

Gastrik boleh dicegah melalui penjagaan pemakanan dan kesihatan yang betul. Pastikan anda menjaga aspek diet pemakanan harian anda dan elakkan jenis makanan yang berisiko menyebabkan gastritis. Luangkan sedikit masa untuk melakukan aktiviti fizikal setiap hari, ia adalah amat digalakkan untuk dijadikan sebagai amalan setiap hari.

Bagaimana gastrik boleh terjadi?

Secara umumnya, fungsi normal perut adalah untuk mengeluarkan asid (gastric juice) yang berfungsi untuk mencerna makananan dan membunuh kuman mahupun bakteria yang masuk melalui mulut, ketika anda sedang makan, bernafas dan sebagainya.

Oleh sebab itu, tahap keasidan di dalam perlu adalah lebih tinggi berbanding bahagian lain di dalam saluran pemakanan atau usus anda.

Disebabkan tahap keasidan di dalam perut itu adalah tinggi, terdapat satu mekanisme akan terbentuk yang dirujuk sebagai protective mechanism.

Ia berperanan untuk melindungi dan mencegah dinding perut daripada terhakis. Mekanisme ini akan menghasilkan sejenis lapisan cecair atau mukus yang menjadi penghalang (protective layer) kepada asid daripada mengenai dinding perut.

Jadi seandainya anda mengalami masalah gastrik angin, ia bermakna, berlaku atau terdapat sesuatu yang telah mengganggu penghasilan lapisan ini.

Jenis-jenis gastrik

Dikatakan terdapat 3 jenis gastrik yang boleh berlaku, iaitu:

Gastritis ringan

Keadaan ini boleh berlaku apabila terdapat keradangan atau pembengkakan yang disebabkan iritasi pada bahagian lapiasan perut yang bersentuhan dengan makanan.

Gastritis berat

Apabila berlaku kecederaan seperti luka yang berpanjangan pada bahagian lapisan perut yang bersentuhan dengan makanan, ia akan menyebabkan berlakunya gastritis berat.

Ulser gastrik (peptic ulcer)

Keadaan ini merujuk kepada masalah ulser perut. Ulser adalah istilah yang memberi maksud keadaan luka terbuka. Terdapat darah yang boleh dikesan dalam muntah atau najis.

Penyebab Gastrik

1. Jangkitan bakteria Helicobacter pylori

Dikatakan daripada 10 kes gastrik, 8 daripadanya dipercayai berpunca daripada jangkitan bakteria Helicobacter pylori ini atau lebih mudah dirujuk sebagai H.pylori.

Bakteria ini dikatakan boleh menjangkiti manusia melalui pengambilan makanan yang sudah tercemar.

Setelah memasuki dan berada di dalam perut, bakteri ini akan bergerak masuk ke dalam lapisan mukus yang berperanan untuk melindungi lapisan atau dinding perut.

Apabila berjaya melepasi lapisan mukus ini, bakteria H.pylori ini akan bersarang dan mengeluarkan bahan kimia yang boleh menghakis lapisan perlindungan di dalam perut.

Tanpa lapisan mukus ini, asid perut yang berfungsi untuk mencerna makan itu akan terkena dinding dan akhirnya mengakibatkan rasa pedih dan sakit, lalu terjadilah masalah gastritis atau gastrik angin.

2. Pengambilan ubat tahan sakit NSAIDs

NSAIDs merupakan singkatan kepada Non-steroidal Anti-inflammatory Drugs. Ia merupakan sejenis ubat penahan sakit yang sering diberikan oleh doktor perubatan.

Kegunaan ubat ini adalah untuk digunakan oleh individu yang mempunyai masalah sakit sendi (keradangan) atau sakit otot.

Ubat tahan sakit NSAIDs ini berfungsi untuk menghalang pembentukan sejenis bahan kimia, prostaglandin yang boleh mengakibatkan rasa sakit di dalam badan manusia. Tetapi dalam masa yang sama, bahan kimia prostaglandin ini diperlukan untuk penghasilan mukus di dalam lapisan perut.

Pengambilan ubat NSAIDs ini akan menyebabkan penghasilan mukus akan mengalami penurunan kerana jumlah atau kuantiti bahan kimia prostaglandin yang berkurangan dan tidak cukup untuk menampung keperluan dalam proses penghasilan mukus tersebut. Akhirnya, keadaan ini akan mengakibatkan asid perut menghakis dinding perut.

3. Tahap tekanan yang tinggi dalam badan

Gastrik angin boleh berlaku bukan sahaja disebabkan oleh tidak makan mengikut waktu yang sepatutnya. Tetapi ia juga boleh berlaku sekiranya tahap tekanan yang membebani badan seseorang individu dalam pada tahap yang tinggi.

Antara penyebab tekanan adalah seperti kesan daripada pembedahan major disebabkan masalah kesihatan lain, atau sebarang kecederaan teruk yang boleh merangsang penghasilan asid yang tinggi di dalam perut.

Hellodoktor mengesyorkan beberapa langkah pencegahan yang boleh anda lakukan jika terkena gastritis:

  • Menghindari pengambilan makanan berasid, bergoreng, pedas, dan tinggi lemak. Terutamanya ketika perut anda masih kosong.
  • Mengambil makanan dengan kerap dan dalam kuantiti yang kecil. Sebaiknya elakkan dari melangkau waktu hidangan makan. Makan mengikut ketetapan waktu. perbanyakkan meminum susu kerana susu bersifat alkali dan boleh mengurangkan keasidan perut. Walau bagaimanapun, elakkan dari mengambil minuman tenusu ketika perut kosong terutama pada waktu pagi.
  • Jika masalah gastritis berlaku disebabkan pengambilan ubat NSAIDs, cuba untuk berbincang dengan doktor anda untuk mendapatkan cadangan pengambilan ubatan lain bagi membantu mengatasi masalah sakit sendi atau otot yang anda alami.
  • Menjauhi minuman beralkohol. Tidak salah untuk anda mengambil minuman beralkohol sekali sekala. Tetapi pastikan ia dalam jumlah yang terkawal. Walau bagaimanapun, jika anda mempunyai kekuatan untuk terus berhenti daripada meminumnya, pasti ia adalah satu langkah yang lebih baik.
  • Tekanan adalah sesuatu yang sentiasa berlaku dalam kehidupan seseorang individu. Ia boleh terjadi akibat pekerjaan yang anda lakukan, tugasan harian rumah yang anda buat atau pelbagai punca lain. Ia sukar untuk dielakkan dari berlaku. Tetapi anda boleh mencuba untuk mengurangkan tekanan. Cuba pelajari dan amalkan kaedah pernafasan mendalam setiap kali anda berdepan tekanan.
  • Berhenti merokok. Tabiat merokok sememangnya tidak mendatangkan sebarang faedah untuk kesihatan anda. Malah ia sebenarnya merupakan antara punca yang mendasari kepada pelbagai masalah kesihatan. Jadi, jika anda mampu, cuba untuk berhenti merokok. Terdapat pelbagai cara yang boleh membantu anda untuk menghentikan tabiat merokok ini.
Tags
Show More

Related Articles

Back to top button