Isu SemasaTempatan

Hasil Pendapatan Hotel-Hotel Di KL Semakin Merosot?

Pembinaan hotel yang terlalu banyak di Kuala Lumpur dan semakin ramai pelancong asing yang beralih kepada Airbnb dilaporkan menjejaskan pendapatan pengendali-pengendali hotel di ibu kota Malaysia itu.

Statistik menunjukkan bahawa Kuala Lumpur merekodkan pendapatan yang terendah dalam kalangan bandar-bandar utama di Asean setakat bulan Mei tahun ini, walaupun jumlah pelancong menyaksikan peningkatan.

Difahamkan, Kuala Lumpur juga menjadi bandar kelima yang paling banyak dilawati di dunia.

Berdasarkan data STR Inc, sebuah syarikat berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) yang mengumpul data bekalan dan permintaan bagi pelbagai sektor termasuk industri hotel global,  hasil setiap bilik yang tersedia (RevPar) di hotel-hotel di Kuala Lumpur dari Januari 2019 sehingga Mei 2019 telah menurun sebanyak 9.5%.

Namun, bandar-bandar lain seperti Hanoi (Vietnam), Manila (Filipina), Jakarta (Indonesia) dan Bangkok (Thailand) mencatatkan pertumbuhan dalam RevPAR setakat Mei 2019.

Kadar penginapan hotel-hotel di Kuala Lumpur bagi tempoh yang sama juga menyaksikan penurunan 6.3%, sementara purata kadar harian (ADR) turut menurun 3.4%.

“Terdapat dua sebab utama di sebalik penurunan pendapatan. Terdapat terlalu banyak hotel yang dibenarkan untuk dibina di KL.

“Tidak seperti Singapura, hotel hanya dibenarkan untuk membina cawangan baru apabila ia mencapai kadar penginapan tertentu. Tetapi keadaan di Malaysia berbeza.

“Sebab kedua adalah impak penginapan Airbnb. Lebih ramai pelancong memilih Airbnb, tetapi unit-unit ini tidak membawa kos overhed yang tinggi seperti hotel,” kata sumber industri.

Sementara itu, angka rasmi kerajaan meunjukkan bahawa terdapat 3,225 buah hotel yang menawarkan 254,109 bilik setakat bulan Mac 2019 berbanding hanya 1,578 pada Mac 2000.

Minat yang semakin meningkat terhadap Airbnb juga menyaksikan pelancong lebih gemar memilih penginapan dengan sewa jangka masa pendek berbanding hotel-hotel tradisional, sekali gus menjejaskan lagi pendapatan perniagaan hospitaliti itu.

Dalam pada itu, terdapat ramai pemilik kondominium dan pangsapuri juga bergegas mendaftar unit-unit mereka di bawah Airbnb memandangkan pasaran hartanah terus merosot akibat terlebih dibina.

Sumber: The Malaysian Reserve (TMR)

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button