AntarabangsaIsu Semasa

AS Tuduh Iran Sebagai Dalang Serangan Loji Minyak Arab Saudi, Tetapi…

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dalam satu kenyataan pada Isnin berkata, Iran mungkin dalang disebalik insiden serangan dron ke atas loji minyak Aramco di Arab Saudi pada hujung minggu baru-baru ini.

Insiden tersebut turut menimbulkan kebimbangan tentang konflik baru di Timur Tengah, namun Trump berkata bahawa pihaknya “tidak mahu berperang dengan sesiapa.

Memetik laporan Arab News, serangan itu telah merosakkan loji pemprosesan minyak mentah terbesar di dunia tersebut, selain daripada menyebabkan harga minyak mentah melambung pada paras yang tertinggi sejak Perang Teluk pada tahun 1991.

Tetapi, harga minyak mentah dikatakan mengambil masa untuk diterjemahkan ke dalam harga petrol. Kenaikan harga minyak mentah ini juga dijangka hanya bersifat sementara.

Sementara itu, beberapa pegawai Kabinet AS, termasuk Setiausaha Negara, Mike Pompeo dan Setiausaha Tenaga, Rick Perry, telah menuduh Iran melancarkan serangan itu.

“Amerika Syarikat dengan sepenuh hati mengutuk serangan Iran ke atas Arab Saudi dan kami menyeru negara-negara lain untuk turut melakukannya,” kata Perry.

Walau bagaimanapun, Iran menolak tuduhan AS bahawa ia adalah dalang di sebalik serangan.

Menurut Presiden Iran, Hassan Rouhani pula, serangan dilakukan oleh “rakyat Yaman” yang bertindak balas dalam peperangan dengan kumpulan militan Houthi.

Apabila ditanya pemberita sama ada Iran menjadi dalang, Trump berkata:

“Ia dilihat begitu pada masa ini….Sebaik sahaja kami mengenal pasti (dalang sebenar), kami akan memberitahu anda.”

Difahamkan, serangan ke atas loji minyak Aramco telah merencatkan pengeluaran minyak mentah dunia sebanyak 5%.

Ketegangan di rantau teluk dilaporkan telah meningkat dengan drastik pada tahun ini selepas AS di bawah pimpinan Trump mengenakan sekatan berat ke atas Iran yang bertujuan untuk menyekat eksport minyaknya.

Tetapi pemimpin Rumah Putih itu turut berkata bahawa beliau tidak mahu bertindak secara terburu-buru dalam isu serangan terbaru ini.

“Kita mempunyai banyak pilihan, tetapi saya tidak melihat pada pilihan buat masa ini…kita¬† mahu mencari siapa yang melakukannya.

“Kita berurusan dengan Arab Saudi. Kita berurusan dengan putera mahkota dan jiran-jiran anda yang lain. Dan kami sedang membincangkannya bersama. Kita lihat apa yang akan berlaku.

“Saya ialah seseorang yang tidak mahu berperang. Tidak, saya tidak mahu berperang dengan sesiapa, tetapi kita lebih ‘bersedia’ (untuk berperang) berbanding orang lain,” jelas Trump.

Sementara itu, Arab Saudi menyatakan bahawa serangan telah dilancarkan menggunakan senjata-senjata Iran.

Tegas Arab Saudi, ia boleh bertindak balas secara keras dan turut menggesa pakar-pakar daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk membantu menyiasat insiden berkenaan.

Dalam perkembangan terbaru pula, Al-Jazeera melaporkan bahawa militan Houthi mengaku bertanggungjawab melakukan serangan tersebut, sambil memberi amaran kepada Arab Saudi bahawa sasaran mereka akan “terus berkembang.”

Sumber: Arab News, Al-Jazeera

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button