Isu SemasaTempatan

Mekanisme Kawal Penularan Maklumat Unsur Provokasi Sudah Mencukupi

Malaysia mempunyai pelbagai mekanisme untuk mengawal penyebaran maklumat-maklumat berunsur provokasi atau keganasan.

Menurut Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin, undang-undang sedia ada seperti Akta Pencegahan Jenayah (POCA), Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA), Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 sudah cukup untuk mengekang sebarang krisis yang berlaku dalam negara.

“Negara kita diiktiraf kerana mempunyai pengurusan pencegahan yang baik,” katanya.

Jelas beliau, menyekat penggunaan media sosial adalah langkah alternatif terakhir yang boleh diambil sekiranya mekanisme-mekanisme pencegahan lain gagal.

“Saya berpendapat, langkah menutup media sosial tidak perlu dilakukan kerana ia seolah-olah kita katakan rakyat negara ini mudah terpengaruh dan tidak mempunyai perlindungan kendiri yang bagus dan ini juga merupakan satu bentuk diskriminasi serta tanggapan tidak elok untuk rakyat,” katanya Bernama.

Noor Nirwandy berkata demikian untuk mengulas tentang dapatan hasil kaji selidik firma penyelidikan bebas, Ipsos Global Advisor (Ipsos) baru-baru ini.

Kaji selidik tersebut mendapati bahawa majoriti responden rakyat Malaysia mahu kerajaan menutup sementara media sosial ketika berlakunya krisis dalam usaha mengekang penyebaran berita palsu.

Beliau turut menyatakan bahawa rakyat Malaysia perlu memahami konteks kebebasan bersuara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan bagi mengelak daripada menyentuh perkara-perkara sensitif berunsur hasutan dan perkauman.

“Sebarang bentuk provokasi yang menggalakkan untuk berlakunya konflik dalam negara atau yang boleh membawa kepada keganasan, boleh bermula dengan kemahiran teknologi minimum yang boleh diakses dengan mudah.

“Pengguna media sosial mempunyai kemahiran minimum untuk mengolah, melakukan suntingan atau membina mesej dengan mudah menerusi video, poster dan hantaran di media sosial yang mana ia membuka ruang kepada isu seperti berita palsu yang boleh mencetuskan provokasi dan menggugat perkauman…ini harus dilihat bagi memastikan media sosial tidak disalahgunakan,” katanya.

Justeru, Noor Nirwandi mengesyorkan agar agensi-agensi kerajaan bekerjasama dengan pakar akademik untuk membangunkan strategi jangka masa panjang bagi mewujudkan persekitaran yang positif dalam media sosial.

“Ini akan memastikan interaksi di media sosial yang lebih positif dan menggagalkan sebarang cubaan untuk mewujudkan persekitaran yang tidak harmoni,” ujarnya.

Sumber: The Sun Daily – Bernama

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button