Isu SemasaTempatan

GPS Lebih Selesa Bergerak Sendirian – Abang Johari

Gabungan Parti Sarawak (GPS) lebih selesa dan memilih untuk bergerak sendirian berbanding menyertai mana-mana parti politik dari Semenanjung Malaysia.

Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, pihaknya kini sedang memfokuskan pembangunan negeri, selain daripada ingin memberikan sesuatu kembali kepada rakyat.

“Kami lebih suka bergerak bersendirian. Jika kami jaga rumah kami dengan baik, maka ramai orang akan datang melabur,” kata beliau selepas merasmikan Centexs-SMA Safari 2019 pada Sabtu.

Abang Johari berkata demikian ketika diminta untuk mengulas berkenaan kolaborasi UMNO-PAS. Dua buah parti tersebut telah menandatangani memorandum kerjasama yang dikenali sebagai Piagam Muafakat Nasional.

Memorandum tersebut ditandatangani oleh kedua-dua presiden parti, iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (UMNO) dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang (PAS).

Mengulas lebih lanjut, Abang Johari yang juga Ketua Menteri Sarawak berkata, GPS tidak mahu masuk campur dengan politik di Semenanjung memandangkan mereka komited untuk membangunkan Sarawak dan penduduk-penduduknya.

“Itu (kolaborasi UMNO dan PAS) adalah politik mereka…Kami tidak lagi dalam BN (Barisan Nasional),” ujar beliau.

GPS yang terdiri daripada gabungan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) telah ditubuhkan pada bulan Jun 2018 selepas kesemua parti itu sebulat suara memutuskan untuk keluar daripada BN, yang tewas buat pertama kali dalam sejarah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Menerusi GPS, kerajaan negeri dan rakyat dikatakan mempunyai platform yang lebih baik dan kukuh untuk menyuarakan pandangan secara bebas demi melindungi kepentingan Sarawak.

Sumber: The Sun Daily – Bernama
Tags
Show More

Related Articles

Back to top button