AntarabangsaIsu Semasa

Rusia Dedah Sut Angkasa Baru, Tetapi Ia Mempunyai Satu ‘Kekurangan’ Besar

Rusia pada hujung bulan Ogos telah mendedahkan sut angkasa baru yang dikenali sebagai Sokol-M untuk digunakan dalam kapal angkasa pada masa akan datang.

Prototaip Sokol-M telah dipamerkan di sebuah pertunjukan udara di luar Moscow, sebagai pengganti kepada sut angkasa lama yang dipakai ketika pelancaran ke Stesen Angkasa Antarabangsa dengan menaiki kapal angkasa Soyuz.

Syarikat aeroangkasa Zvezda, yang merupakan pencipta sut itu berkata, ia dicipta menggunakan ‘bahan baru’ dan boleh menyesuaikan diri dengan bentuk badan yang berlainan.

Ini amat berbeza dengan sut sedia ada yang perlu direka secara khusus untuk setiap individu.

Walau bagaimanapun, reka bentuk sut baru tersebut mungkin perlu diubah semula kerana ia ‘menghalang’ angkasawan daripada meneruskan satu tradisi ganjil: iaitu membuang air kecil ke atas tayar belakang bas yang membawa mereka ke pad pelancaran.

Difahamkan, tradisi ini telah dimulakan oleh lelaki pertama ke angkasa, iaitu Yury Gagarin ketika dalam perjalanan ke pad pelancaran pada tahun 1961.

Tradisi kencing ke atas tayar belakang bas ini kemudian ‘diamalkan’ oleh ramai angkasawan lelaki, di mana mereka percaya bahawa perbuatan itu akan membawa ‘tuah’.

Tetapi menurut Zvezda, adalah mustahil bagi angkasawan untuk melakukan perbuatan itu dengan menggunakan sut baru yang direkanya.

Sut Sokol-M mempunyai satu zip pepenjuru, berbanding sut lama yang mempunyai ruang pembukaan berbentuk V di bahagian kelangkang.

Difahamkan juga, angkasawan-angkasawan wanita dikatakan “tidak wajib” untuk menyertai tradisi itu, namun terdapat juga segelintir daripada mereka yang membawa botol kecil yang sudah diisi kencing untuk menyimbahnya ke atas tayar berkenaan.

“Saya tidak pasti bagaimana mereka (angkasawan) akan mampu (meneruskan tradisi itu)….Kami sudah mempunyai spesifikasi reka bentuknya. Ia tidak menyatakan bahawa ia adalah satu keperluan untuk kencing ke atas tayar,” kata pengarah Zvezda, Sergei Pozdnyakov.

Dalam pada itu, pelancaran Soyuz juga dikatakan mempunyai pelbagai tradisi ganjil lain, termasuk menanam pokok di pelancar angkasa Baikonur, memotong rambut, dan menonton filem klasik Soviet “White Sun of The Desert”.

Sumber: AFP Relaxnews

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button