Isu SemasaSains

Rangka Burung Kakak Tua Gergasi Ditemui Di New Zealand

Tidak disangka apabila tulang belulang yang dijumpai oleh pasukan arkeologi pada tahun 2008 ternyata merupakan seekor burung kakak tua yang dijangka pernah menghuni bumi 19 juta tahun yang lalu.

Apa yang lebih mengejutkan ialah saiz burung kakak tua tersebut yang dikatakan sebesar separuh ketinggian ukuran manusia biasa.

Rangka yang ditemui di New Zealand ini mengambil masa 11 tahun untuk mengetahui haiwan apakah ia sebenarnya.

“Tidak pernah terlintas difikiran kami bahawa tulang tersebut merupakan burung kakak tua gergasi. Kami hanya rasa ia mungkin merupakan seekor burung helang sehingga kami kembali dan melihatnya semula,” kata Paul Scofield, curator senior di muzium sumber alam, Canterbury Museum.

Dilihat daripada saiz tulang kakinya itu, burung tersebut berkemungkinan besar memiliki ketinggian 1 meter (39 inci) dan memiliki berat 7kg.

“Ia berkemungkinan boleh terbang tetapi kami rasa besar kemungkinan ia tidak boleh terbang,” tambah Paul tentang burung kakak tua gergasi tersebut yang telah diberi nama Heracles inexpectatus.

Ia diberi nama tersebut sempena Herculean dek kerana saiz serta kekuatannya – dan juga kerana penemuan yang menakjubkan ini.

Penemuan burung kakak tua gergasi ini adalah dua kali ganda lebih besar daripada kakapo, burung yang tidak boleh terbang di New Zealand dan diambang kepupusan itu.

New Zealand adalah sebuah negara yang menjadi tuan rumah bagi burung yang tidak boleh terbang dan kini telah pun pupus bernama moa. Ia dikatakan memiliki ketinggian 3.6 meter dengan leher yang jinjang dan terkenal sebagai burung gergasi.

Fosil burung gergasi yang ditemui di New Zealand ini berada berdekatan dengan St Bathans di Selatan New Zealand, sebuah daerah yang kaya dengan fosil daripada zaman Miocene yang wujud 5 hingga 23 juta tahun yang lalu.

“Kami telah meneroka kawasan ini sejak 20 tahun yang lalu dan setiap tahun kami menemukan burung atau haiwan yang baharu.. Tidak dinafikan terdapat banyak lagi spesies tak terduga akan ditemui dan sudah tentunya sangat menakjubkan,” kata Prof Madya Trevor Worthy dari Flinders University.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button