Isu SemasaTempatan

Kerajaan Akan Tubuh Tenaga Kerja Keselamatan Siber Kebangsaan

Kerajaan akan menubuhkan Tenaga Kerja Keselamatan Siber Kebangsaan sebagai usaha untuk memerangi jenayah siber yang berleluasa.

Tenaga kerja itu akan ditubuhkan di bawah Dasar Keselamatan Siber Kebangsaan, yang merupakan pelan tindak balas serangan siber selama tempoh lima tahun yang dijadualkan untuk dilaksanakan pada tahun ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang bercakap bagi pihak Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata, usaha bersepadu diperlukan untuk menangani cabaran-cabaran keselamatan siber yang dihadapi oleh negara.

“Strategi ini akan direalisasikan menerusi sumber manusia dan pembangunan infrastruktur yang akan memfokuskan kepada pembentukan Tenaga Kerja Keselamatan Siber Kebangsaan untuk memastikan penggunaan optimum sumber dan kepakaran sedia ada,” katanya di Persidangan Keselamatan Sumber, Bandaraya Pintar dan E-Kerajaan – Perkongsian Kepakaran Russia pada Khamis.

Malaysia telah menjadi mangsa beberapa serangan siber sejak beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk gangguan sistem di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada bulan lepas.

Pada tahun 2017, pihak berkuasa mengesahkan bahawa berlaku kes pencerobohan data membabitkan 46.2 juta rekod, yang merangkumi nombor kad pengenalan, alamat, nombor telefon.

Tahun lepas pula, lebih daripada 16 juta ancaman malware dilaporkan wujud di Malaysia, sekali gus menempatkan negara di tangga teratas dalam serangan seumpamanya di Asia Tenggara.

Secara purata, Malaysia berdepan 45,000 ancaman malware setiap hari.

Sementara itu, Saifuddin berkata bahawa Malaysia telah mengambil langkah dalam mempromosikan keselamatan siber di sekolah dengan memperkenalkan wacana keselamatan siber kebangsaan pertama pada tahun 2013.

“Saya yakin dengan strategi dan perancangan yang betul, industri keselamatan siber boleh berkembang dan maju di Malaysia, sekali gus menjadikan keselamatan siber sebagai salah satu teras ekonomi penting yang boleh menyediakan lebih banyak peluang demi kemakmuran negara,” katanya.

Sumber: The Malaysian Reserve (TMR)

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button