AntarabangsaIsu Semasa

Rakaman Audio Pembunuhan Jamal Khashoggi Disiarkan Buat Pertama Kali

Rakaman audio kata-kata terakhir wartawan Washington Post, Jamal Khashoggi yang dibunuh dengan kejam pada bulan Oktober lepas di konsulat Arab Saudi di Istanbul telah disiarkan buat pertama kali kepada umum oleh akhbar Turki, Daily Sabah.

Difahamkan, rakaman audio tersebut telah diperoleh oleh Pertubuhan Perisikan Kebangsaan Turki selepas pembunuhan itu berlaku, dan kemudian dikongsikan kepada pihak berkuasa berkenaan di negara itu yang melaksanakan siasatan berhubung insiden itu.

Rakaman tersebut mengandungi perbualan di antara pembunuh-pembunuh Khashoggi sebelum ketibaannya dia konsulat itu, di mana mereka membincangkan rancangan untuk membunuh dan memotong anggota badan mangsa.

Setelah sampai di konsulat itu untuk prosedur perkahwinannya, Maher Mutreb, seorang anggota dalam ‘skuad pembunuh’ tersebut, memberitahu Khashoggi bahawa beliau akan dihantar pulang ke Riyadh atas arahan Polis Antarabangsa (Interpol), menurut transkrip rakaman audio itu.

Skuad pembunuh turut memaksa Khashoggi menghantar pesanan kepada anak lelakinya, untuk tidak rasa bimbang sekiranya tidak mendengar sebarang khabar daripadanya, namun beliau enggan berbuat demikian.

Berikut adalah sebahagian daripada transkrip perbualan di antara Khashoggi bersama pembunuh-pembunuhnya sebelum beliau dibunuh:

Mutreb:  Tinggalkan pesanan untuk anak anda.

Khashoggi:  Apa yang patut saya beritahu anak saya?

Mutreb:  Anda akan menulis pesanan, mari kita berlatih; tunjukkan kepada kami.

Khashoggi: Apa patut saya katakan, ‘jumpa anda tidak lama lagi’?

Anggota skuad pembunuh yang tidak dikenali: Jangan berdalih.

Mutreb: Anda akan menulis sesuatu seperti ‘saya berada di Istanbul. Jangan risau jika anda tidak dapat menghubungi saya.

Khashoggi:  Saya tidak patut kata saya diculik.

Anggota skuad pembunuh yang tidak dikenali:  Buka jaket kamu.

Khashoggi:  Bagaimana perkara seperti ini boleh berlaku di konsulat? Saya tidak akan menulis apa-apa.

Anggota skuad pembunuh yang tidak dikenali: Jangan berdalih. 

Khashoggi: Saya tidak akan menulis apa-apa. 

Mutreb: Tulislah, Encik Jamal. Cepat. Bantu kami agar kami boleh membantu anda, kerana pada akhirnya kami akan menghantar anda pulang ke Arab Saudi. Dan jika anda tidak membantu kami, anda tahu apa yang akan berlaku.

Khashoggi:  Terdapat tuala di sini. Adakah anda akan memberi saya pelali?

Al-Tubaigy: Kami akan ‘tidurkan’ anda.

Selepas diberi pelali, Khashoggi berkata “jangan tutup mulut saya”.

Kemudian, ini merupakan kata-kata terakhir Khashoggi sebelum meninggal dunia:

“Saya mempunyai asthma. Jangan lakukannya, atau anda akan melemaskan saya.”

Dalam pada itu, Mutreb serta beberapa orang lagi yang terlibat dalam pembunuhan itu kini berdepan hukuman mati di Arab Saudi.

Sumber: The Malaysian Reserve, Daily Sabah

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button