Isu SemasaTempatan

Malaysia Dan Turki Sasar Jumlah Dagangan Tahunan RM20 Bilion Menjelang 2025

Malaysia dan Turki menyasarkan jumlah dagangan tahunan bernilai AS$5 bilion (RM20.87) menjelang tahun 2025, memandangkan kedua-dua negara berhasrat untuk mengukuhkan lagi hubungan ekonomi dalam pelbagai sektor.

Berikutan lawatan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir ke Ankara pada awal bulan Julai, pemimpin kedua-dua negara dilaporkan telah mengadakan perbincangan untuk meningkatkan perdagangan dalam pertahanan, iaitu bidang yang menyaksikan pertumbuhan pesat sejak sedekad lalu di Turki.

Dr Mahathir turut menyatakan bahawa Turki menzahirkan kesanggupan untuk memberi akses teknologi dan keupayaan pertahanannya kepada Malaysia selepas mengadakan lawatan ke syarikat Turkish Aerospace Industries di Ankara.

Sementara itu, Duta Turki ke Malaysia, Dr Merve Kavakci berkata, Dr Mahathir dan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan dijangka akan bertemu lagi di luar Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York pada bulan ini untuk membincangkan potensi perjanjian.

Walau bagaimanapun, Dr Kavakci tidak mendedahkan sebarang maklumat terperinci berhubung perkara itu.

“Apabila kita bercakap tentang kerjasama dalam mana-mana sektor, kita berhasrat untuk mewujudkan situasi menang-menang (win-win) daripada pengeluaran teknologi kepada pemindahan teknologi dan kemahiran, dan mewujudkan pekerjaan dan bergerak ke arah kemandirian dan pembangunan berdaulat,” katanya.

Malaysia telah lama berhasrat untuk meningkatkan keupayaan pertahanannya, namun kos yang tinggi menjadi salah satu penghalang utama.

Turki pula merupakan salah satu pengeksport peralatan pertahanan yang terbesar di dunia dan menjadi antara empat buah negara yang mempunyai keupayaan untuk membangunkan jet pejuang generasi kelima.

Tiga buah negara lain adalah Amerika Syarikat (AS), China, dan Rusia.

Bagi menggantikan peralatan ketenteraan Malaysia, yang kebanyakannya sudah berada dalam perkhidmatan selama lebih 35 tahun, Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu mencadangkan idea untuk membeli peralatan baru dengan menggunakan minyak sawit sebagai pertukaran.

“Ini adalah sesuatu yang kami sedang usahakan. Kami menyedari akan terlebih bekalan minyak sawit, dan seperti yang saya telah sebut, Malaysia membekalkan 95% keperluan minyak sawit di Turki, dan kami sedang mencari kaedah lain untuk melakukan perdagangan barter – bukan sahaja minyak sawit, tetapi komoditi-komoditi lain juga,” kata Kavakci.

Sumber: The Malaysian Reserve (TMR)

Show More

Related Articles

Back to top button